Shahrir Samad Dilantik Pengerusi FELDA Yang Baharu

PUTRAJAYA – Selaras dengan hasrat Kerajaan untuk memperkukuhkan dan memantapkan lagi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Perdana Menteri sebentar tadi mengumumkan, Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dilantik sebagai pengerusi FELDA yang baharu menggantikan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Shahrir menggantikan Mohd Isa yang telah tamat tempoh perkhidmatannya sebagai Pengerusi FELDA manakala Mohd Isa akan terus memegang jawatan sebagai Pengerusi FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV), kata Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Razak.

Menurut Najib, dengan penyusunan baharu ini, adanya pembahagian tanggungjawab iaitu terhadap kebajikan dan sosio-ekonomi peneroka dan perniagaan FELDA.

“Tan Sri Shahrir mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan dan pernah menjadi menteri di tiga kementerian. Beliau juga pernah menyandang jawatan Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).”

“Di samping itu, beliau pernah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) yang bertanggungjawab mengaudit ketelusan badan-badan Kerajaan.”

“Saya yakin beliau dapat meneruskan segala usaha yang sedang dibuat bagi mensejahterakan lagi warga FELDA,” kata Najib.

Najib dalam kenyataannya itu turut mengucapkan terima kasih kepada Mohd Isa terhadap sumbangannya sepanjang memegang jawatan Pengerusi FELDA.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Mohd Isa diatas sumbangan beliau kepada FELDA sejak memegang jawatan tersebut pada tahun 2011.”

“Dibawah kepimpinannya, FELDA telah menjayakan banyak aktiviti kemasyarakatan serta program-program bagi meningkatkan kualiti hidup peneroka dan keluarga mereka,” kata Perdana Menteri.

 

Leave a Reply