Beli Pegangan EHP, Pelaburan Strategik Jangka Panjang FELDA – Razali

PUTRAJAYA – Pembelian 37 peratus ekuiti dalam syarikat Indonesia, PT Eagle High Plantations Tbk (EHP) oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) adalah pelaburan strategik jangka panjang, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim.

Menyangkal dakwaan bahawa janji niaga itu terlalu mahal, beliau berkata, pembelian itu akan membolehkan FELDA memperoleh akses kepada tanah perladangan seluas lebih 320,000 hektar atau kira-kira 4.4 kali saiz Singapura, termasuk lebih 125,000 hektar yang sudah ditanam dengan pokok sawit.

Katanya, dalam tempoh setahun perbincangan antara kedua-dua pihak, harga asal AS$650 juta yang ditawarkan EHP telah tiga kali dikurangkan, sehingga ditandatangani pada 23 Dis lepas pada harga AS$505 juta.

“Tidak mungkin kita boleh dapat usaha sama dengan saiz tanah sebesar itu dalam satu transaksi. Perbincangan itu telah memberi penurunan harga yang signifikan dan boleh memberi faedah kepada syarikat negara kita.

“Sebab itu saya tidak terkejut dalam satu temubual, pihak sana mengatakan bahawa sangat sukar untuk menandatangani perjanjian dengan kita dan itu menunjukkan kita sentiasa memikirkan kepentingan syarikat dan peneroka,” katanya dalam sidang media di sini, Isnin.

Disember lepas, FELDA mengumumkan anak syarikatnya, FIC Properties Sdn Bhd, akan membeli kepentingan dalam EHP, antara syarikat perladangan terbesar Indonesia dan sudah menandatangani perjanjian jual beli dengan Rajawali Group.

Menurutnya, pembelian ekuiti anak syarikat Rajawali Group itu adalah pelaburan jangka panjang FELDA untuk membesarkan portfolio pemilikan ladangnya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim

“Ladang itu sebahagiannya telah ditanam dengan pokok baharu yang belum pun berbuah, jadi ini akan mengurangkan kos operasi FELDA kerana syarikat tidak perlu lagi memotong pokok tua dan menanam semula pokok baharu,” jelasnya.

Beliau juga memberi jaminan perjanjian itu tidak akan menjejaskan kepentingan peneroka memandangkan pembiayaannya diperoleh dalam bentuk pinjaman daripada kerajaan dan tidak menggunakan dana sedia ada.

Katanya, syarikat Indonesia itu juga perlu memperolehi persetujuan daripada kerajaan Indonesia yang merupakan antara syarat sebelum pembayaran dibuat.

“Ini bagi memberi jaminan bahawa pelaburan kita akan berhasil apabila ada persetujuan daripada kerajaan negara itu. FELDA belum membuat apa-apa pembayaran setakat ini sehingga syarat-syarat tersebut dipenuhi,” jelasnya.

Razali berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga mengikuti secara dekat perjanjian itu dan FELDA tidak akan membuat apa-apa pembayaran yang boleh menjejaskan kedudukannya.

Menjelas lanjut, katanya, Rajawali Group dijangka memperolehi persetujuan daripada kerajaan Indonesia menjelang hujung bulan ini.

Katanya, pembelian itu adalah kerjasama penting memandangkan kedua-dua syarikat terlibat dalam Majlis Negara- Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) yang ditubuhkan Malaysia dan Indonesia yang seterusnya akan memberi kesan positif kepada sawit dunia.

Razali berkata, beberapa penerangan telah dibuat kepada peneroka FELDA mengenai urus niaga itu dan mereka dapat menerima penjelasan yang diberikan. — Bernama

Leave a Reply