Gabungan Pemain Muda Dan Senior Mampu Kuatkan FELDA United

MARAN – Keseimbangan pemain muda dan senior dalam pasukan Felda United pada musim ini diyakini mampu menguatkan pasukan itu menghadapi saingan Liga Super, Liga Malaysia dan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2017.

Ketua Jurulatih Felda United, Azmi Mohamed berkata dua bekas pemain kebangsaan iaitu Wan Zack Haikal Wan Nor dan Norshahrul Idlan Talaha antara pemain baharu yang menyertai pasukan itu bagi musim ini.

Sehubungan itu, Azmi berkata perkara utama bagi dirinya pada masa ini adalah dengan memastikan kesemua pemain skuad ‘The Fighters’ betul-betul bersedia dari segi mental dan fizikal.

“Kalau kita tengok, nampak kesimbangan dalam skuad tahun ini antara pemain muda dengan pemain senior. Kita hendak melihat kepada keseimbangan ini disebabkan kita akan menghadapi (Piala) AFC dan jadual juga padat. Saya kena siapkan pasukan ini betul-betul bersedia daripada segi fizikal dan mental,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran jersi dan memperkenalkan pemain pasukan Liga Super Kelab Bola Sepak Felda United untuk musim ini di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

Majlis itu disempurnakan Penaung Felda United, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang turut dihadiri Presiden kelab bola sepak itu Datuk Hanapi Shuhada dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda Pahang, Datuk Abu Bakar Harun.

Azmi berkata setakat ini persiapan pemain tempatan sudah lengkap dan kini hanya tinggal untuk membawa masuk pemain import yang dijangka dapat diisi minggu depan berikutan pada masa ini seorang sahaja pemain import lama kekal dalam pasukan itu, Zah Rahan Krangar dari Liberia.

Beliau berkata tiga pemain import baharu yang akan membarisi pasukan itu terdiri daripada dua pemain dari Argentina dan satu lagi sama ada dari Uzbekistan atau Iraq.

“Apabila kita mempersiapkan pemain tempatan dengan sistem yang kita terapkan dalam permainan bersesuaian dengan pemain import, ini akan memudahkan lagi kehadiran pemain import baharu ini dan tidak mendatangkan banyak masalah.

Insya-Allah, pemain pun faham tanggungjawab mereka dan mereka tahu sangat penting perlawanan pertama pada 21 Januari ini menentang pasukan PKNS kerana tiga mata berharga perlu mereka cari, jadi saya yakin pemain akan beri komitmen paling tinggi untuk memenangi permainan pertama 21 Januari ini,” katanya.

Azmi juga mengulangi sasaran penaung Felda United sebelum ini bahawa skuad ‘The Fighters’ menyasarkan untuk menjulang satu piala pada musim ini selepas gagal memenuhi sasaran berkenaan tahun lepas.

“Piala AFC pula kita cuba sebaik mungkin untuk kita ke pusingan kedua sebab ini adalah pengalaman pertama pemain dan juga ada ramai pemain muda kita dedahkan, dan ini satu pengalaman baik untuk mereka,” katanya.

Pasukan Felda United pada musim ini membariskan 13 pemain baharu termasuk Wan Zack Haikal dan Norshahrul Idlan. – BERNAMA

Leave a Reply