Tapak Pelupusan Sampah Sanitari Rimba Mas Dijangka Beroperasi April

KANGAR – Pembukaan tapak pelupusan sampah baharu di Rimba Mas di Titi Tinggi, Padang Besar yang tertangguh lebih tiga tahun berikutan bantahan penduduk Felda Rimba Mas, dijangka beroperasi April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Mat Hassan berkata tapak seluas 29.75 hektar itu dibina melalui peruntukan RM51.3 juta oleh kerajaan pusat.

Tapak berkenaan yang berupaya menampung 150 metrik tan sampah kering dan basah sehari, dibina bagi menggantikan tapak pelupusan Padang Siding di Pauh, Arau, yang tidak lagi sesuai kerana dikelilingi taman perumahan dan sekolah serta tidak berupaya menampung jumlah sampah dari seluruh negeri.

“Tapak di Rimba Mas ini mampu menampung sampah dari seluruh Perlis walaupun pada masa tertentu sampah boleh meningkat sehingga 200 metrik tan sehari,” kata Mat di sini, Selasa.

Mat berkata tapak pelupusan Padang Siding yang melupuskan sampah secara pembakaran terbuka telah menyebabkan pencemaran sehingga mengganggu keselesaan penduduk berdekatan.

“Tapak pelupusan di Rimba Mas mengamalkan sistem sanitari iaitu sampah tidak dibakar tetapi dimasukkan ke dalam sel khas dan ditimbus bagi mengelak pencemaran udara,” katanya.

Mat memberi jaminan keselesaan para penduduk tidak akan terganggu dengan operasi tapak pelupusan tersebut kerana ia disahkan melalui kajian terperinci impak terhadap alam sekitar pada 24 Ogos 2011. – BERNAMA

Leave a Reply