Alessandro Padovani Celin Sedia Kecewakan FELDA United

KOTA BHARU – Pemain import Kelantan, Alessandro Padovani Celin sudah sedia untuk mengecewakan FELDA United FC apabila kedua-dua pasukan berentap di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka pada Sabtu ini.

Penyerang kelahiran Brazil berusia 27 tahun itu ingin membuktikan betapa kehadirannya bukan sekadar pelengkap kuota import The Red Warriors (TRW) bagi musim ini.

Seorang lagi pemain import Kelantan yang juga bekas penyerang kebangsaan Lubnan, Mohammed Ghaddar sudah pun meledakkan dua gol ketika perlawanan menentang PKNS FC, bulan lalu.

Justeru, pertembungan dengan FELDA United bakal menjadi penanda aras buat Celin untuk menempa nama selaku antara peledak berbisa dalam saingan Liga Super selepas masih kemarau gol sehingga kini.

Celin berkata, kelebihannya yang sudah biasa bermain di padang tiruan pasti tidak menyukarkannya untuk memberi aksi terbaik pada perlawanan itu.

Katanya, FELDA United dianggap kebal di kubu sendiri kerana pemainnya sudah serasi dengan permukaan padang sekali gus memudahkan mereka untuk mengawal permainan.

“Kita berupaya menyaingi kehebatan FELDA United, jika rakan sepasukan boleh menyekat kemaraan mereka, selain mengekalkan tahap kecergasan daripada cepat menjadi letih.

“Saya tidak mahu bercakap besar, namun perlu meledak sekurang-kurangnya dua gol bagi mengembalikan semula reputasi saya kepada jurulatih dan peminat,” katanya.

Sementara itu, Zahasmi ketika dihubungi berkata, beliau tidak mahu memberi sebarang tekanan kepada pemain terutama jentera serangan yang diketuai trio import yang baharu digandingkan. – BH

Leave a Reply