Bauksit: Titah Pemangku Raja Pahang Dipandang Sepi

KUANTAN – Titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah agar kolam bauksit yang terbiar, segera ditimbus atau dipasang tanda amaran, seperti dipandang sepi oleh pemilik tanah dan pihak berkuasa berkaitan.

Tinjauan mendapati belum ada yang mematuhi titah itu walaupun sudah seminggu ia dikeluarkan, kecuali kolam bauksit di Taman Sungai Karang Jaya, di sini yang ditimbus sehari selepas tiga kanak-kanak lemas pada 4 Februari lalu.

Kolam berkenaan ditimbus oleh penduduk setempat dengan kerjasama UMNO Bahagian Indera Mahkota serta kontraktor berhampiran.

Kawasan lombong lain yang ditinjau di sekitar daerah ini, antaranya di FELDA dan RTP Bukit Goh serta Damansara sebaliknya terus terbiar dengan kolam tidak ditimbus, tiada papan amaran dan pagar serta mudah dikunjungi sesiapa sahaja termasuk kanak-kanak.

Pelbagai risiko

Malah, kawasan berkenaan ibarat ‘bom jangka’ kerana terdedah kepada pelbagai risiko, antaranya tanah runtuh seperti di Kampung Jeram, Beserah yang kawasan bukitnya terhakis sehingga menjejaskan kawasan tadahan air.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung FELDA Bukit Goh, Mat Zahari Deraman ketika ditemui, mengakui risau dengan situasi berkenaan dan hanya mampu menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa mengawasi anak masing-masing.

“Lombong bauksit rata-ratanya milik persendirian. Ada pemilik memaklumkan akan kembali melombong selepas tempoh moratorium berakhir pada 31 Mac ini,” katanya sambil berharap pihak berkaitan segera bertindak bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Pantau situasi

Pengerusi Gerakan Rakyat Hentikan Pencemaran Bauksit (GERAM), Ali Akhbar Othman pula meminta pihak berkuasa berkaitan memantau situasi berkenaan kerana ia membabitkan keselamatan nyawa dan harta benda masyarakat.

“Moratorium juga seharusnya menetapkan pengusaha lombong bauksit memulihara lombong, pastikan tahap keselamatan dengan pasang pagar atau tanda amaran. Mereka (pemilik dan operator) harus diminta memulihkan keadaan selepas kaut untung,” katanya.

Pada 4 Februari lalu, tiga kanak-kanak lemas di sebuah kolam bauksit di Taman Sungai Karang Jaya.

Penghujung 2015 pula, seorang remaja lelaki, Nabil Ariff Shaari, 14, lemas ketika mandi di kawasan takungan lombong bauksit di Ladang Makmur Bukit Goh.

“Lombong bauksit milik persendirian. Ada pemilik memaklumkan akan kembali melombong selepas tempoh moratorium berakhir pada 31 Mac ini” Mat Zahari Deraman, Pengerusi JKKK Kampung FELDA Bukit Goh. – BH

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.