Bekas Pengarah Besar FELDA Dan Bekas Timbalan Pengarah Besar FELDA Didakwa

KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Besar Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Datuk Faizoull Ahmad, 57 dan bekas Timbalan Pengarah Besar (Sumber Strategik) FELDA, Muhammad Sufi Mahbub, 53, hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen masing-masing kerana pecah amanah wang agensi itu berjumlah RM47.6 juta dan bersubahat, tiga tahun lalu.

Kedua-dua bekas pegawai kanan FELDA itu tidak mengaku bersalah apabila tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Allaudeen Ismail.

Bekas Timbalan Pengarah Besar (Sumber Strategik) FELDA, Muhammad Sufi Mahbub

Muhammad Sufi didakwa sebagai Timbalan Pengarah Besar (Sumber Strategik) telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas dana FELDA melakukan pecah amanah jenayah ke atas dana itu iaitu dengan curangnya melupuskan wang itu dengan memasuki perjanjian Technology Transfer and Supply Agreement dan Design-Build Contract Agreement dengan 12C Hassed (M) Sdn Bhd melalui FELDA Caviartive Sdn Bhd.

Dia kemudian meluluskan pembayaran masing-masing RM25,999,000 dan RM21, 625, 500 tanpa kelulusan Lembaga Pengarah FELDA atau Jawatankuasa Tender FELDA.

Bekas Pengarah Besar, Datuk Faizoull Ahmad

Faizoull pula didakwa bersubahat melakukan perbuatan itu di tempat dan masa yang sama.

Kesemua pertuduhan tersebut didakwa dilakukan di Bangunan Wisma Felda Jalan Perumahan Gurney, di sini antara 13 Januari dan 23 Julai 2014.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat dan boleh didenda.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM1 juta bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib manakala Mohd Irwan Mohd Mubarak dan Azad Bashir masing-masing bertindak sebagai peguam Muhammad Sufi dan Faizoull.

Leave a Reply