Dugong, Khazanah Marin Yang Semakin Pupus

Malaysia adalah antara 48 buah negara yang memiliki satu daripada hidupan marin sangat unik iaitu dugong. Bagaimanapun, ia kini berdepan ancaman.

“Saya perlu mendapatkan ketulan ais, sarung tangan dan sebuah kotak untuk menyimpan ‘spesimen’ sebelum kita bergerak ke Felda Tenggaroh Selatan Satu. Spesimen ini akan dibawa balik ke Kuala Lumpur.”

Demikian kata Ng Jol Ern, Setiausaha kehormat MareCet (badan bukan kerajaan khusus untuk konservasi hidupan marin) setelah selesai makan tengahari disebuah medan selera Mersing.

Penulis berpeluang menyertai ahli pasukan MareCet dan sekumpulan pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mahu berjumpa orang kampung sekitar Mersing berkenaan kajian mengenai dugong.

Menurut Ng, mereka mencari sebuah pantai di kawasan Felda Tenggaroh Selatan Satu, Kota Tinggi kerana mendapat tahu ada dugong mati di sana.

Setiausaha Kehormat MareCet, Ng Jol Ern (duduk) ketika mengambil spesimen bangkai dugong yang ditemui mati di Pantai Tanjung Logok di kawasan Felda Tenggaroh Selatan Satu.

Dugong mati

Perjalanan dari pekan Mersing ke Felda Tenggaroh Selatan Satu mengambil masa kira-kira sejam. Pun kami tertanya-tanya di manakah pantainya sebaik tiba di tanah rancangan itu.

Di kiri kanan kami cuma ada ladang kelapa sawit. Tiada tanda langsung ada pantai berhampiran sehinggalah kami bertemu dengan seorang lelaki Melayu berbaju hijau yang sudah sedia menanti di tepi jalan.

“Laluan berbukit menuju pantai ini hanya orang kampung sahaja tahu. Kami panggil Pantai Tanjung Logok. Kita kena jalan kaki ke bangkai dugong dan ia mengambil masa 15 minit,” kata lelaki yang memperkenalkan namanya, Anang Minhad.

Berusia 59 tahun, bapa kepada dua orang anak ini merupakan individu yang menjumpai bangkai dugong itu ketika hendak memancing di pinggir pantai berkenaan.

“Ada peneroka Felda di sini jadi nelayan. Ketika musim tengkujuh, kami tidak turun ke laut dan biasanya bulan November sehingga penghujung bulan Mac kami akan memancing di sini.

“Inilah pertama kali saya melihat dugong biarpun sudah menetap di sini sejak tahun 1989, terkejutlah juga,” kata Anang.

Keadaan dugong yang sudah mati itu agak menyedihkan. Kulitnya sudah terkupas.

“Ia telah dimakan biawak,” kata Ng.

Beliau dengan pantas mengumpul sampel kulit dugong kerana hari semakin senja. Turut kelihatan beberapa kakitangan Jabatan Perikanan negeri.

Diberi perlindungan

Dugong dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985 Bahagian 5 Seksyen 27, Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 yang berkuatkuasa di Semenanjung Malaysia, Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 berkuatkuasa di negeri Sarawak dan Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 di negeri Sabah.

Berdasarkan Akta, Ordinan dan Enakmen berkenaan, tiada siapa pun boleh memancing, mengganggu, menangkap, membunuh, memiliki, menjual, membeli dugong atau mana-mana bahagiannya.

Sekiranya dugong ditangkap dengan tidak sengaja semasa menangkap ikan, hendaklah dilepaskannya segera ke laut jika masih hidup dan sekiranya telah mati hendaklah dilaporkan kepada Jabatan Perikanan Malaysia.

Setelah selesai mengambil spesimen, Anang mahu kami segera beredar.

“Kita ikut laluan hutan pantai elak hujan. Air dah mula pasang dan ombak makin tinggi, kalau lambat kita akan tenggelam. Nampak tak banyak tapak kaki sepanjang laluan?

“Bahaya, ini tapak kaki babi hutan yang masih baru dan boleh menyerang kita,” katanya.

Terancam

Hakikatnya, kes dugong mati di Pantai Tanjung Logok bukan perkara baru. Media sudah banyak melaporkan kes kematiannya sejak pertama kali ditemui di negara ini pada lewat 1960-an.

Keadaan ini mencetuskan kebimbangan di kalangan pihak kerajaan serta NGO berkaitan konservasi hidupan marin. Apatah lagi, populasi spesies unik ini tidak banyak di negara kita berbanding Australia mahu pun Teluk Arab.

Difahamkan, Australia memiliki populasi terbesar dugong di dunia, anggaran 80,000 ekor di utara negara berkenaan antara Shark Bay dan Moreton Bay.

Hasil kajian penyelidikan tempatan (agensi kerajaan berkaitan, universiti serta NGO), mendapati jumlah dugong di negara kita tidak sampai mencecah ratusan ekor apatah lagi ribuan!

Ini yang merisaukan ditambah pula jawapan emel Syed Abdullah Syed Abdul Kadir, Pengarah Bahagian Penyelidikan Penyu dan Spesies Marin Terancam, Rantau Abang, Terengganu, Jabatan Perikanan Malaysia, berkaitan purata kematiannya.

“Bilangan populasi dugong di Malaysia amat sedikit. Berdasarkan kajian diperairan negeri Johor, Sarawak dan Sabah mendapati hanya tinggal 40-50 ekor di Johor, 20 hingga 30 ekor di Sabah dan Sarawak.

“Populasi dugong di Malaysia diancam kepupusan dengan mengambil kira purata kematian hidupan ini setiap tahun antara tiga hingga lima ekor setahun,” katanya.

Kemerosotan habitat

Namun, bukan semua jenis tumbuhan air itu menjadi pilihan dugong yang mampu membesar sehingga tiga meter panjang dan mencapai berat 450 kg ini.

Sebagai contoh, Pulau Pinang mempunyai padang rumput laut agak luas di Beting Tengah, bagaimana pun kajian mendapati dugong tidak pernah ditemui di kawasan berkenaan.

“Rumput laut kegemaran dugong adalah daripada spesies rendah serat dan tinggi nitrogen serta mudah dihadam. Dua spesies rumput laut yang digemari adalah Halophila ovalis dan Halodule uninervis,” jelas Louisa.

Bagaimana pun, ekosistem rumput laut yang terletak di pesisiran pantai yang cetek dan terlindung ini berdepan masalah pencemaran, kemusnahan akibat penambakan, pembangunan pesat serta pukat tunda sekali gus berisiko kepada kelangsungan hidup dugong.

Banyak kajian menunjukkan penurunan populasi dugong di sesuatu kawasan ada kaitan dengan kerosakan habitat rumput laut.

Selain itu, dugong turut berisiko terjerat pada peralatan perikanan seperti pukat hanyut yang digunakan nelayan, pelanggaran bot serta pencemaran air laut.

“Walaupun hidup dalam air, sebagai mamalia marin dugong perlu timbul di permukaan air setiap 10 minit untuk bernafas.

“Sekiranya ia terjerat pada pukat hanyut, dugong akan lemas kerana tidak dapat naik ke permukaan air untuk bernafas kerana seperti manusia, dugong bernafas menggunakan paru-paru,” katanya.

Pembiakan perlahan

Louisa menjalankan penyelidikan dugong bermula 2010 sehingga sekarang dan menjalin kerjasama erat dengan kerajaan negeri Johor dan kerajaan persekutuan.

Menurut beliau, masalah ancaman dugong memerlukan perhatian jitu.

Ini kerana dugong mengambil masa sangat lama untuk menambah populasi berikutan kadar pembiakannya yang rendah biar pun mempunyai jangka hayat panjang sehingga 70 tahun.

Dugong betina hanya boleh membiak ketika berusia tujuh hingga 18 tahun. Manakala, dugong jantan boleh mencapai kematangan seksual dalam tempoh sama.

Tempoh bunting dugong pula adalah 12 hingga 15 bulan dan kelahiran berlaku sekali dalam tempoh tiga hingga tujuh tahun.

“Kadar pembiakannya perlahan dan dugong hanya melahirkan seekor anak sekaligus mendedahkannya kepada kepupusan. Malah, mamalia ini tidak akan mengawan lagi sehinggalah anaknya itu tidak lagi bersamanya.

“Pertalian anak dan ibu dugong sangat rapat. Biarpun anak itu tidak lagi menyusu selepas 18 bulan, ia akan sentiasa berenang dekat dengan ibunya sekurang-kurangnya dua tahun. Selepas itu, barulah anak dugong sudah boleh hidup tanpa ibunya,” kata Louisa.

Untuk itu, amat merugikan sekiranya mamalia laut ini mati pada usia belum matang akibat ketidakseimbangan aktiviti manusia kerana akan hilanglah peluang untuk pembiakan populasi.

Biarpun demikian, masalah kemerosotan jumlah dugong ini tidak hanya berlaku di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia. – Bernama

Leave a Reply