Bomba Selamatkan Bahan Kimia Bocor Dari Merebak

TANJUNG MALIM – Sebuah lori yang membawa bahan kimia mudah terbakar berjaya dikawal Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 396.3 Lebuh Raya Utara – Selatan arah Selatan di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 pagi itu, pemandu dan kelindan lori berkenaan dikejarkan ke Hospital Slim River untuk dapatkan rawatan selepas melanggar sebuah lori yang parkir di tepi lebuh raya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim, Abd Rahim Shaari berkata, pemeriksaan mendapati lori berkenaan membawa lebih 50 tong berkapasiti 25 liter mengandungi bahan kimia seperti solderite, solvent, surfbrite dan diluent.

“Seramai 17 pegawai dan anggota termasuk lapan daripada Hazmat Pasir Puteh dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 3.57 pagi.

“Pemeriksaan mendapati sebuah tong mengandungi bahan solderite didapati berlaku kebocoran dan Hazmat bertindak memakai pakaian lengkap untuk menutup kebocoran berkenaan,” katanya.

Menurutnya, operasi berkenaan turut dipantau oleh Jabatan Alam Sekitar sebelum mengarahkan syarikat terlibat memindahkan bahan lain ke lori lain untuk tindakan selanjutnya. – SINAR HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.