Norhimah Tidak Jemu Gilap Bakat Wanita Jadi Usahawan

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Wanita Inspirasi Negara (WIN), Norhimah Aziz, antara tokoh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yang tidak pernah berhenti menggilap potensi wanita dalam bidang keusahawanan untuk memastikan golongan itu mampu memecah tembok perniagaan global.

Beliau kini, dalam usaha membangunkan lebih 100 ahli WIN yang berdaftar di bawah persatuan itu bagi mencorakkan kejayaan mereka dalam bidang keusahawanan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Norhimah berkata, kejayaan wanita terbukti dengan pencapaian mereka membina empayar kerjaya ke peringkat lebih tinggi.

Lantaran, katanya, beliau menjadi pihak ketiga bagi merancang, mendorong dan meningkatkan ilmu wanita yang berpotensi untuk meraih kecemerlangan dalam bidang keusahawanan.

“WIN sebagai pertubuhan yang menyatukan wanita Malaysia melalui ‘Jaringan Tanpa Sempadan’ daripada pelbagai profesyen. Saya mahu membina kecemerlangan, kemahiran dan jati diri wanita sejajar dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahukan wanita sebagai Ejen Transformasi Negara,” katanya.

NORHIMAH sentiasa memastikan beliau mengenali ahli WIN supaya dapat merapatkan hubungan antara pemimpin dan ahli.

Pemimpin ‘tak pilih bulu’

Tokoh Wanita Inspirasi 2015 Shaklee Care itu berkata, beliau lahir sebagai pemimpin yang tidak kisah melatih wanita daripada pelbagai latar belakang dan pendidikan.

Beliau mahu menjadikan WIN persatuan yang berlandaskan jaringan tanpa batasan.

Lebih penting, beliau mahu melahirkan lebih ramai usahawan daripada ‘zero to hero’ dengan pelbagai program dirancang secara bersistematik dalam pelbagai termasuk perunding imej, kecantikan dan perniagaan dalam talian.

Malah, ada yang berhenti kerja dan membangunkan kerjaya dalam keusahawanan kerana melihat prospek perniagaan itu dalam menjana pendapatan yang besar.

Antara wanita yang pernah dilahirkan menerusi program WIN ialah Normila Zainuddin yang kini memegang jawatan setiausaha kerja Kami Anak Felda (KAF).

“Normila pada awalnya tiada ilmu asas berkenan keusahawanan. Saya bentuk beliau dari ‘zero to hero’. Ini calon terbaik yang pernah kita asuh sehingga berjaya.

“Bayangkan ketika menghadiri program kita, beliau memang buta teknologi sehingga laman sosial seperti Facebook pun tiada.

“Sekarang Normila antara wanita yang menggerakkan aktiviti pertubuhan itu dan menjadi wadah baru kepada generasi di dalam dan luar FELDA,” katanya.

Norhimah bukan pemimpin yang ‘memilih bulu’ dalam membentuk wanita untuk transformasi diri setiap ahlinya pada situasi yang lebih baik.

Beliau disifatkan sebagai pemimpin yang merendah diri, tidak gemar menunjukkan kejayaan dan tidak kisah berkawan dengan golongan bawah.

Antara usaha keras beliau adalah menjadikan ahli persatuannya bersedia dalam ilmu perniagaan menerusi program keusahawanan, kerjasama dengan rakan perniagaan strategik, perkongsian maklumat serta mendapat sokongan agensi korporat dan swasta.

“Sebagai pemimpin, saya tidak mahu berhenti mencari ilmu pengetahuan kerana yakin ilmu perlu dicari. Saya berpegang kepada ilmu pengetahuan digunakan sehingga ke liang lahad.

“Ciri pemimpin adalah berpengetahuan dan menjadi pemangkin kepada ejen perubahan. Justeru, saya agresif bergerak selari dengan keadaan semasa. Pemimpin perlu peka kepada perubahan.

“Umpamanya, kini zaman teknologi, jadi kita harus akui, keupayaan teknologi sebagai keperluan hidup. Saya kena jadi pemimpin yang sentiasa tahu perkembangan semasa kerana di bawah saya, separuh ahli adalah daripada Generasi Y dan separuh lagi adalah generasi X. Jadi, kena seimbang dalam semua aspek,” katanya.

AHLI WIN terdiri daripada pelbagai usia.

Dekati generasi muda

Kata beliau, antara lain beliau begitu rapat dengan semua ahli WIN, terutama belia.

“Kita perlu akui, suatu hari nanti belia akan mengambil alih kepemimpinan. Sebagai pemimpin, saya dedahkan mereka bukan saja ilmu keusahawanan tetapi ilmu kepemimpinan supaya mereka bersiap sedia dari awal jika menjadi pemimpin,” katanya.

Pada masa sama, beliau memastikan setiap program dijalankan memberi impak tinggi kepada peserta dan ahli, bukan sekadar perkongsian ilmu tetapi dibuktikan dengan keberhasilan.

“Setiap program kita lakukan, saya akan fikirkan apa kesinambungan kepada program. Di WIN, kita tidak fokus kepada kuantiti, tetapi kualiti diperoleh,” katanya.

Beliau mahu WIN lahir sebagai persatuan yang mempunyai ekosistem dalam pembangunan modal insan.

“Pemimpin perlu terus merebut peluang. Saya sendiri masih menghadiri seminar kerana pemimpin perlu lebih mempunyai ilmu untuk memimpin pasukan. Wajib jadi contoh kepada ahli,” katanya. – BH

Wakil Youth WIN meraih tempat pertama dalam dalam Social Venture Youth Exchange, program kerjasama antara Korea dan Malaysia baru-baru ini.

 

Leave a Reply