Felda Wujudkan Dana Pusingan RM100 Juta

HULU TERENGGANU – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan mewujudkan dana pusingan RM100 juta untuk memastikan pembayaran hasil seminggu sekali kepada peneroka dapat dilakukan seperti sebelum ini.

Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata dana pusingan dari Felda itu bertujuan melancarkan pembayaran hasil mingguan itu sementara mendapat bayaran daripada kilang sawit.

Katanya, pembayaran hasil seminggu sekali itu adalah antara fokus utama Felda ketika ini agar penubuhan asalnya dalam mengutamakan kebajikan peneroka tercapai.

“Dalam soal kita nak pastikan Felda kembali semula kepada peranan asalnya, sudah pasti asas utama ialah tentang pengurusan kebun, penanaman semula, baja, penjagaan dan pembayaran hasilnya kepada peneroka.

“Hasil itu bergantung kepada bagaimana kebun itu dijaga. Kita nakkan yang terbaik untuk peneroka, hasil tak guna kalau pembayarannya pula ada masalah macam bayar lambat, seminggu sekali. Kita nak kembali kepada asal, kita boleh bayar seminggu sekali. Barulah bermakna hasil itu diterjemahkan kepada pendapatan peneroka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis ulang tahun ke-50 Jubli Emas Felda Bukit Bading di sini malam tadi.

Turut hadir anggota Parlimen Hulu Terengganu merangkap Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari dan anggota Dewan Undangan Negeri Terengganu (DUN) Ajil, Ghazali Taib.

Mengulas lanjut, Shahrir yang juga anggota Parlimen Johor Bahru itu berkata pengurusan Felda akan memulakan semula bayaran mingguan itu secepat mungkin dan sehingga kini proses mengemas kini akaun peneroka hampir selesai.

“Kita kemas kini akaun peneroka. Berapa hutangnya, berapa pendapatan dan tunggakan untuk melancarkan semula proses pembayaran hasil secara mingguan ini,” katanya.

Shahrir berkata Felda mempunyai banyak aset di London yang boleh dicairkan dengan nilai RM2 bilion.

“Aset hartanah ini adalah pelaburan Felda dahulu. Bila nilainya meningkat, tidak salah jika kita jual. Kita cairkan semula pelaburan ini untuk perkara lain yang boleh memberi manfaat kepada peneroka,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply