Hutang: FELDA Tidak Pernah Aniaya Peneroka

Kontroversi berkaitan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) banyak dikaitkan dengan pertikaian berkaitan hutang peneroka sehingga ada pihak tidak bertanggungjawab mempolitikkan isu ini dengan menuduh FELDA seakan tidak menjaga peneroka sebagaimana yang sepatutnya.

Malah ada yang menuduh FELDA sengaja menganiaya peneroka dengan bebanan hutang sedangkan peneroka tidak pernah dipaksa untuk mengambil hutang.

Sejak penubuhan FELDA 61 tahun yang lepas, FELDA tidak pernah lari dari paksi utamanya untuk menjaga kesejahteraan peneroka.

Walaupun objektif asal penubuhan FELDA adalah untuk membasmi kemiskinan tetapi objektif itu telah lama dicapai dan kini FELDA berada pada satu dimensi baru untuk meningkatkan taraf hidup 112,635 peneroka yang setia bersamanya.

Sebagai peneraju ekonomi peneroka, FELDA telah menjalankan pelbagai inisiatif untuk mencapai objektif baru ini.

Antara inisiatif tersebut adalah dengan menyediakan peluang pinjaman yang majoritinya tidak dikenakan sebarang faedah.

Skim Insentif Usahawan FELDA (SIUF) misalnya disediakan sehingga tahun 2014 untuk membolehkan peneroka-peneroka dan generasi baharu FELDA untuk terlibat dalam bidang keusahawanan lantas meningkatkan pendapatan mereka.

Bantuan kemahiran dan latihan serta pemasaran disediakan oleh FELDA secara percuma.

Sehingga kini, sebanyak 23,750 peneroka telah berjaya menjadi usahawan.

Memandangkan sektor keusahawanan menjadi semakin kompetitif, sejak tahun 2014, FELDA menjadi pemudah cara bagi peneroka FELDA mendapatkan pinjaman daripada agensi pembiaya kerajaan dan swasta seperti Agrobank.

Skim Pembesaran Rumah turut diberikan dengan nilai pinjaman maksimum RM40,000 untuk memberi keselesaan kepada warga peneroka.

Hasil inisiatif ini, kini kita dapat melihat banglo-banglo yang tersergam indah di dalam kawasan rancangan FELDA dengan keluasan lebih 3,000 kaki persegi.

Pinjaman Pelajaran Tinggi pula disediakan untuk generasi baharu FELDA sebagai kemudahan bagi golongan ini untuk melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi.

Kebanyakan pinjaman pelajaran tinggi adalah dalam bentuk boleh ubah di mana diskaun diberi berdasarkan keputusan pengajian peminjam.

Pinjaman paling besar yang diberikan oleh FELDA kepada peneroka adalah Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil iaitu sepanjang tempoh program tanam semula yang memakan kos yang begitu tinggi.

Pinjaman ini diberikan semasa tempoh ketidakberhasilan kebun, untuk meringankan beban sara hidup peneroka dengan dikenakan kadar faedah sebanyak 6.25% secara baki berkurangan iaitu bersamaan kadar efektif 3.8%.

Rasionalnya ialah FELDA turut perlu membayar faedah kembali kepada institusi kewangan semasa mendapatkan pinjaman untuk menampung pembiayaan sara hidup dan pendahuluan hasil ini.

Walau bagaimanapun, apa yang perlu disedari adalah kesemua pinjaman yang diberikan oleh FELDA ini adalah satu kemudahan sahaja dan peneroka bebas memilih untuk mengambilnya atau pun tidak.

Jadi ini menangkis tohmahan sesetengah pihak bahawa FELDA sengaja menganiaya peneroka dengan belenggu hutang.

Hakikatnya, warga peneroka tidak pernah dipaksa untuk mengambil hutang sebaliknya FELDA menawarkan kepada warga peneroka skim hutang bagi menampung keperluan sara hidup ketika kebun tiada hasil dan juga memudahkan kehidupan peneroka dan keluarga mereka.

Sekiranya wara peneroka FELDA mempunyai sumber kewangan lain seperti pembiayaan dari anak-anak yang telah berkerja atau bidang lain selain kebun, mereka tidak perlu mengambil sebarang hutang.

Leave a Reply