FELDA Lafaz Dan Tandatangan Ikrar Bebas Rasuah

KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) telah menandatangani Ikrar Bebas Rasuah dalam satu majlis diketuai oleh Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Ekonomi) FELDA, Tuan Hj. Ab. Ghani Mohd Ali di Menara FELDA, Platinum Park, di sini, hari ini.

Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) merupakan usahasama antara FELDA, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan FELDA sebagai satu agensi bebas daripada rasuah.

Ia merupakan inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh SPRM.

Ikrar Bebas Rasuah memberi penekanan kepada ikrar dan janji yang dibuat oleh para kepimpinan organisasi dan warganya untuk memastikan setiap individu yang menandatangani ikrar tersebut akan lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas mereka dan menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan rasuah.

Objektif Ikrar Bebas Rasuah ini adalah untuk mendapatkan komitmen pimpinan organisasi dalam usaha untuk membanteras jenayah rasuah.

Selain itu, Ikrar Bebas Rasuah turut bertujuan untuk menanamkan perasaan benci kepada jenayah rasuah dalam warga organisasi dan secara langsung memastikan agar jenayah rasuah tidak menular di FELDA.

Lafaz Ikrar Bebas Rasuah yang dilaksanakan pagi tadi telah diketuai oleh Tuan Hj. Ab. Ghani Mohd Ali dan diikuti oleh Timbalan-timbalan Pengarah Besar, Pengarah-Pengarah dan Ketua-ketua Unit.

Petugas-petugas Kumpulan FELDA turut serta dalam lafaz ikrar ini terdiri dari FELDA, Felda Technoplant dan Felda Investment Corporation.

Lafaz ikrar ini turut disaksikan oleh Tan Sri Shahrir Abdul Samad, Pengerusi FELDA dan Datuk Dzulkifli Ahmad, Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Selepas lafaz ikrar ini dibacakan, Tuan Hj. Ab. Ghani Mohd Ali dan Ketua-Ketua Jabatan dan Unit menandatangani sijil Ikrar Bebas Rasuah bagi membuktikan komitmen terhadap ikrar yang telah dilafaz.

Pelancaran Polisi dan Prosedur Pemberi Maklumat FELDA (Whistleblowing Alert) turut dirasmikan oleh Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Objektif Polisi dan Prosedur ini adalah untuk memberi ruang kepada seseorang untuk mendedahkan sebarang kelakuan tidak wajar dan merupakan satu mekanisme rasmi bagi tindakan yang bakal diambil ke atas semua maklumat dan aduan yang diterima.

Majlis ini melibatkan semua Ahli Lembaga Pengarah FELDA, Pengurusan Tertinggi dan petugas-petugas Kumpulan FELDA.

Leave a Reply