Jenazah Pelumba Cup Prix Dikebumikan Di Sendayan

SEREMBAN – Jenazah pelumba CP150, Norizman Ismail yang maut selepas terlibat dalam kemalangan semasa sesi ujian masa pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Bandar Baru Kijal, Kemaman, Terengganu, semalam, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sendayan di sini.

Bapa mertua Allahyarham, Raduan Ahmad, 64, berkata jenazah Norizman, 32, pelumba pasukan ONEXOX TKKR Racing, tiba dikediamannya pada pukul 7.20 pagi dan akan disembahyangkan di surau Taman Nuri Bayu 2, dekat sini, sebelum dikebumikan sebelum Zohor.

Arwah yang memulakan karier di Cub Prix pada 2004 dan merangkul gelaran juara kelas perdana sebanyak dua kali pada 2005 dan 2001, meninggalkan seorang isteri, Nurul Aida Raduan, 27, dan tiga orang anak.

“Arwah memang seorang yang sentiasa berusaha, kalau sekadar pengalaman sahaja dia tidak akan capai satu kejayaan,” kata Raduan, yang juga pembimbing pelumba pasukan itu, kepada Bernama ketika ditemui di kediamannya di sini, hari ini.

Selain Norizman, beliau juga sebelum ini pernah melatih pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah dan beberapa pelumba cub prix lain seperti Zamri Baba dan Azlan Shah Kamaruzaman.

“Walaupun pasukan ini baru ditubuhkan setahun setengah tetapi telah menunjukkan prestasi membanggakan dan dengan adanya arwah dalam pasukan ini, dialah yang membimbing pelumba-pelumba muda ini.

Raduan dalam pada itu menyifatkan menantunya itu merupakan seorang pelumba yang mempunyai semangat kental dan bercita-cita tinggi dalam setiap perlumbaan yang disertainya.

Norizman disahkan meninggal dunia di hospital pada pukul 4.50 petang ketika mendapatkan rawatan di hospital di Kemaman.

Allahyarham mengalami kecederaan parah selepas terjatuh di selekoh pertama pada sesi ujian tersebut.

Berikutan insiden itu, penganjur Safe Aim Mutual Sdn Bhd., membatalkan perlumbaan yang dijadualkan hujung minggu ini sebagai tanda hormat kepada pelumba itu.

Sementara itu, Pengurus pasukan ONEXOX TKKR, Alizan Tambi menyifatkan arwah sebagai seorang yang berdisiplin dan mempunyai komitmen tinggi dalam sukan permotoran.

“Komitmen beliau memang kita tak nafikan dan dia akan membuat sesuatu untuk mencapai kemenangan. Beliau seorang pelumba yang mempunyai semangat jitu untuk memenangi apa-apa kejohanan yang disertai,” katanya dalam nada sebak. – BERNAMA

Leave a Reply