Eina Azman Jamu Gelandangan Di Paris

KUALA LUMPUR: Berkongsi rezeki yang dimiliki, pelakon Datin Eina Azman sempat menjamu gelandangan di kota Paris dengan hasil tangan masakannya.

Pemilik nama penuh Ainur Syakina Azman, 22, itu mengakui sayu melihat mereka yang kelaparan di susur lorong kota cinta itu ketika bercuti bersama keluarganya di sana baru-baru ini.

“Kasihan melihat kanak-kanak kecil di tepi jalan tanpa tempat berlindung dengan cuaca sejuk di sana. Lebih menyayat hati, mereka bukan meminta duit sebaliknya memohon simpati untuk mengisi perut yang kosong.

“Saya menjamu kira-kira 30 gelandangan dari pelbagai negara dengan memasak ayam goreng berempah bersama nasi. Terharu melihat mereka makan dengan penuh berselera sehingga licin.

“Saya selalu masak dalam kuantiti yang banyak kerana bercuti beramai-ramai bersama keluarga, lantas idea memasak untuk gelandangan itu timbul,” katanya.

Bukan bertujuan menunjuk-nunjuk kebajikan dilakukan, Eina berkongsi bersama pengikutnya di media sosial untuk peringatan bersama.

“Saya dan suami kerap melakukan kerja amal di Malaysia, namun baru pertama kali memasak untuk gelandangan ketika melancong. Kalau tahu dari dulu lagi saya bantu mereka dengan cara begini,” katanya.

Pelakon itu mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Harden Abdullah, 37, pada 31 Ogos 2014 dan dikurniakan sepasang anak kembar, Arianna Aubrey dan Karl Kareef. – BERITA HARIAN

Leave a Reply