Kemelut FGV: Penyelesaian Demi Kepentingan Syarikat, Bukan Individu – Shahrir

JOHOR BAHRU – Kemelut Felda Global Holdings Bhd (FGV) perlu diselesaikan segera bukan atas dasar kepentingan atau kemenangan individu, sebaliknya demi memastikan syarikat itu kembali fokus kepada urus tadbir perniagaan khususnya dalam industri sawit.

Ketika menegaskan perkara itu, Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata kemelut yang berpanjangan dikhuatiri akan menjejaskan keyakinan peneroka, pelabur serta keuntungan Felda.

“Kemelut FGV perlu betul-betul diselesaikan, bukan soal siapa yang menang. Jika kemelut FGV tidak selesai, Felda juga akan menerima kesannya dan pembayaran dividen kepada peneroka juga boleh terkesan.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga melihat perkara ini dengan serius sebab itulah beliau bertindak melantik Datuk Seri Idris Jala sebagai orang tengah dan saya rasa itu langkah yang bagus.

“Bagi saya ini mustahak untuk (membolehkan) FGV dilihat sebagai syarikat yang memiliki urus tadbir yang baik dan faham tentang perniagaan sawitnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian bantuan sumbangan Aidilfitri kepada fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal dan orang kurang upaya di Dewan Serbaguna Majidee di sini, Jumaat.

Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menyampaikan bantuan sumbangan Aidilfitri kepada fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal dan orang kurang upaya di Dewan Serbaguna Majidee

Shahrir diminta mengulas kemelut yang menyaksikan Ketua Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Datuk Zakaria Arshad dan tiga lagi pegawai pengurusan kanan FGV dan anak syarikatnya diarah bercuti berkuat kuasa serta-merta pada Selasa lepas.

Selain itu, Shahrir juga meminta FGV untuk memutuskan segera pelantikan tiga nama yang mewakili Felda dalam syarikat itu bagi membantu menyelesaikan kemelut berkenaan.

Tegasnya, ini merupakan permintaan biasa sejajar kedudukan Felda sebagai pemegang saham terbesar FGV sebanyak 33 peratus.

“Pada 23 Mei lepas, kita (Lembaga Felda) telah membuat keputusan untuk menamakan tiga wakil dalam Lembaga Pengarah FGV.

“Kalau tiada sebarang jawapan, saya sendiri akan tulis surat dengan cadangan tiga nama yang telah diputuskan bagi dilantik sebagai wakil Felda minggu depan,” katanya.

Tiga nama itu membabitkan dua daripada bahagian pengurusan manakala seorang lagi mewakili Lembaga Pengarah Felda. – BERNAMA

Leave a Reply