Shahrir Yakin FELDA Mampu Selesaikan Kemelut Jika Ada Wakil Dalam FGV

JOHOR BAHRU – Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Tan Sri Shahrir Abdul Samad menyatakan bahawa FELDA yakin mampu menyelesaikan kemelut yang berlaku dalam FELDA Global Ventures (FGV) sekiranya wakil mereka ditempatkan sebagai Ahli Lembaga Pengarah dalam agensi tersebut.

Menurut Shahrir, keyakinan itu berdasarkan pengalaman, pengetahuan dan kepakaran yang dimiliki mereka dalam industri berkenaan.

“Dalam mesyuarat yang diadakan pada 23 Mei lalu, Felda telah memutuskan untuk meminta ditempatkan tiga wakil dalam Lembaga Pengarah FGV.

“Dua daripada mereka daripada pengurusan, manakala seorang lagi merupakan Ahli Lembaga Pengarah Felda sendiri,” katanya yang ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Parlimen Johor Bahru di Dewan Serbaguna Kampung Datuk Sulaiman Menteri, di sini, Jumaat.

Kemelut dalam FGV ini menarik perhatian umum bilamana empat pengurusan kanan syarikat itu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Dato’ Zakaria Arshad dan anak syarikatnya dipaksa bercuti berkuat-kuasa serta-merta oleh Lembaga Pengarah FGV dan kes disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Leave a Reply