Tanda Kasih Kerajaan Kepada Warga Peneroka

MARAN – Warga peneroka menyifatkan pemberian in­sentif khas dan dividen saham Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) berjumlah RM780 sebagai hadiah dan tanda kasih sayang kerajaan terhadap golongan itu di seluruh negara.

Ketua Peneroka Felda Wilayah Jengka dekat sini, Sulaiman Bakar, 65, berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa memperlihatkan komitmen dan keikhlasan dalam membantu masyarakat peneroka sejak sekian lama.

Justeru itu katanya, beliau bersyukur dan berterima kasih kepada Felda kerana pemberian insentif khas dan dividen tersebut membuktikan kerajaan tidak pernah mengabaikan kebajikan warga peneroka walaupun dalam keadaan ekonomi semasa global.

“Kami bersyukur dengan tanda ingatan kerajaan kepada rakyat yang setia dengan Felda dan sentiasa mendapat manfaat dalam pelbagai bentuk termasuk insentif khas dan dividen ini,” katanya di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan seramai 94,555 peneroka Felda di seluruh negara menerima insentif khas dan dividen FGV sebanyak RM780 seorang dengan jumlah keseluruhan RM73.35 juta.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, pemberian duit raya sebanyak RM500 diberikan kepada setiap keluarga peneroka dengan jumlah keseluruhan diluluskan Felda sebanyak RM47.28 juta.

Perdana Menteri turut meng­umumkan dividen saham FGV RM280 bagi setiap peneroka de­ngan jumlah keseluruhan RM26.4 juta yang mana bayaran insentif hari raya diberikan kepada mereka berurusan dengan Felda.

Sementara itu, peneroka Felda Triang 1 di sini, Mat Jidi Yaakob, 54, berkata, keupayaan mengekalkan tradisi pemberian duit raya kepada peneroka membuktikan Felda dan agensi­nya terus utuh walaupun berdepan dengan pelbagai isu.

“Sebagai tanda syukur dan berterima kasih, warga peneroka seharusnya memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dan Perdana Menteri yang tidak jemu-jemu berusaha memakmurkan negara serta rakyat,” katanya.

Ketua Peneroka Felda Jengka 6, Saharuddin Lela, 59, pula me­ngajak masyarakat peneroka Felda berfikir secara rasional kerana tiada negara yang amat mengambil berat tentang kebajikan rakyat seperti dilakukan Malaysia.

Katanya, dengan sumbangan duit raya berkenaan jelas membuktikan keikhlasan dan keprihatinan Felda serta kerajaan kepada warga peneroka, terutamanya ketika umat Islam akan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

Seorang lagi peneroka, Ahmad Zubir Abd. Rahim, 59, dari Felda Jengka 7, berpendapat, pemberian berkenaan dapat menampung tambahan kewangan untuk membeli pelbagai keperluan harian.

“Setiap individu yang berada di tanah rancangan pasti menikmati bantuan yang diberikan dalam pelbagai bentuk, inilah keistimewaan Felda,” katanya yang menyi­fatkan tohmahan pembangkang bahawa kerajaan tidak menjaga kebajikan warga peneroka adalah tidak benar. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply