FGV Perlu Tunjuk Urus Tadbir Korporat Yang Tinggi

PUTRAJAYA: Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abd Samad mahu Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) menunjukkan amalan urus tadbir korporat yang tinggi.

Beliau berkata, itu antara pandangan yang disampaikan dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di sini hari ini.

“Saya sampaikan pandangan FELDA kepada Perdana Menteri bahawa tentunya FGV sebagai sebuah syarikat yang ada hubungan dengan kerajaan mesti tunjukkan amalan urus tadbir korporat yang begitu tinggi.

“Sebab itu kami tegaskan bahawa FELDA sebagai pemegang saham yang terbesar dalam FGV, perlu juga mempunyai wakil untuk duduk dalam Lembaga Pengarah. Kalau itu dapat dilakukan maka bermaknalah urus tadbir korporat dalam FGV.

“Keduanya dari segi pentadbiran dan kepemimpinan seperti yang dikatakan Perdana Menteri, perlu ikut amalan urus tadbir yang terbaik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pertemuan hampir sejam bersama Perdana Menteri di Kementerian Kewangan di sini.

Selain itu katanya, sehingga kini juga tiada wakil dari FGV yang datang bertemunya berkenaan isu yang berlaku, dan pihaknya percaya mungkin pihak FGV tidak faham berkenaan urus tadbir korporat.

“Jadi kami juga tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Sebagai pemegang saham, siapa sepatutnya yang dijaga, beri pandangan dan perhatian.

“Tidak boleh kalau kata saya Ahli Lembaga Pengarah, maka pemegang saham kena ikut cakap saya, tidak boleh juga kerana dalam urus tadbir ini, pengarah- pengarah syarikat mesti juga menghormati pandangan dan kepentingan pemegang saham, bila sudah terbalik keadaannya, jadi ada masalah dalam urus tadbir FGV,” katanya. – BERITA HARIAN

One thought on “FGV Perlu Tunjuk Urus Tadbir Korporat Yang Tinggi

  • June 18, 2017 at 11:40 am
    Permalink

    Tiada wakil FELDA selaku pemegang ekuiti terbesar di dalam FGV ? Kenapa baru sekarang nampak kepincangan ini?
    Ternyata ada kepincangan di dalam urus tadbir FGV sehingga menyebabkan tiada daya saing di dalam aktiviti perniagaan
    yang diceburi. Singkirkan ahli-ahli lembaga pengarah yang tiada pengalaman di dalam urus tadbir korporat apatah lagi
    bekas-bekas ahli politik yang pernah berkhidmat di dalam kerajaan sebelum ini. Mereka hanya tahu membelanjakan wang
    menghabiskan peruntukan tahunan kementerian selalunya tidak kira secara berhemah atau berhemat. Mereka sama ada
    tidak tahu atau kurang pengalaman menjana keuntungan yang merupakan tujuan hakiki perniagaan apa sekalipun.

    Reply

Leave a Reply