751 Peneroka FELDA Di Parlimen Segamat Terima Wang Tunai Berjumlah RM585,780

SEGAMAT – Seramai 751 orang peneroka dari 3 buah tanah rancangan FELDA di Parlimen Segamat iaitu FELDA Palong Timur 1, 2 dan 3 telah menerima wang tunai keseluruhan berjumlah RMRM585,780 dalam Program Ihya Rahmat Ramadhan Warga FELDA Peringkat Parlimen Segamat.

Program tersebut yang telah diadakan baru-baru ini di Masjid Al Hidayah, FELDA Gugusan Palong Timur, di sini, mendapat sambuatan yang menggalakkan dari warga tempatan.

Dalam program ini setiap peneroka menerima wang tunai insentif Aidilfitri berjumlah RM500 setiap seorang berjumlah RM375,500 keseluruhannya.

Manakala bagi dividen FGV pula para peneroka menerima RM280 setiap seorang melibatkan pembayaran berjumlah RM210,280.

Majlis penyampaian replika cek ini telah disempurnakan oleh Datuk Seri Dr. S. Subramaniam, Menteri Kesihatan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Segamat.

Warga FELDA Gugusan Palong Timur turut bertuah kerana Dr Subramaniam dalam ucapannya semasa merasmikan program tersebut telah mengumumkan peruntukan untuk membina gimnasium untuk kegunaan komuniti di sini.

Turut hadir dalam program anjuran bersama Seranta FELDA, FELDA dan Kementerian Kesihatan Malaysia ini ialah YB Senator Zahari Sarip (Ahli Dewan Negara), YB Hajah Norshida Ibrahim (ADUN Buloh Kasap), Tuan Haji Haffiz Ahmad (Pegawai Daerah Segamat), Nazri Hj Ahmad (Timbalan Ketua Seranta FELDA Jabatan Perdana Menteri Wilayah Segamat) dan Izzati Zaidi (Pegawai Komuniti FELDA Wilayah Segamat).

Wartawan: Nizar Hisyam

Leave a Reply