Ajal Langgar Penghadang Tengah LPT2

KEMAMAN – Seorang penuntut Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat, Johor maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas melanggar penghadang tengah lebuh raya dalam kejadian di Kilometer 297.8 di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di Kijal, lewat petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 7.10 petang itu menyebabkan mangsa, Syahiram Hanis Mohamad, 22, tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan dada.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, kemalangan itu berlaku semasa mangsa dalam perjalanan pulang dari tempat praktikalnya di sebuah syarikat di Paka ke rumahnya di Felda Seberang Tayor, di sini.

Bagaimanapun, katanya, setibanya di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha FZ 150 yang ditunggang mangsa bersendirian dipercayai hilang kawalan lalu merempuh penghadang tengah lebuh raya.

“Berikutan itu mangsa tercampak dari motosikalnya ke atas jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mangsa mula menjalani latihan industri di Paka sejak dua minggu lalu dan berulang-alik ke tempat praktikalnya setiap hari,” katanya.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat dan urusan pengebumian.

Kata Mohd Said, siasatan lanjut kes berkenaan dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – SINAR HARIAN

Leave a Reply