2 Wakil FELDA Dalam Lembaga Pengarah FGV

SHAHRIR menyambut kedatangan tetamu yang datang di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Johor Bahru di Johor Bahru. – Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

JOHOR BAHRU: Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) bersetuju meletakkan dua wakil daripada FELDA sebagai Lembaga Pengarah Syarikat dalam usaha menangani kemelut yang melanda entiti itu.

Sebelum ini, FELDA beberapa kali menyuarakan permintaan mahu meletakkan tiga wakil dalam Lembaga Pengarah FGV bagi membolehkan FELDA yang juga antara pemegang saham terbesar bersama-sama dalam perjalanan syarikat itu.

Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abd Samad, berkata persetujuan itu dicapai dalam satu pertemuan bersama pemangku Pengerusi FGV, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob, minggu lalu.

Katanya, dua wakil daripada FELDA yang akan dilantik itu termasuk dengan satu jawatan gantian.

“Sebelum ini FELDA meminta tiga wakil diletakkan dalam Lembaga Pengarah FGV dan itu menyebabkan FGV terpaksa menambah bilangan Ahli Lembaga Pengarah kepada maksimum 13 daripada 12 sedia ada.

“Berdasarkan perbincangan bersama syarikat (FGV) dan pemangku Pengerusinya, FELDA bersetuju meletakkan dua wakil dengan satu ‘alternate’ (gantian) sebagai Lembaga Pengarah.

“Ini menjadikan keseluruhan sebanyak 11 Ahli Lembaga Pengarah iaitu tiga lantikan kerajaan, dua daripada FELDA dan enam lagi Lembaga Pengarah Bukan Bebas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika majlis rumah terbuka Aidilfitri Parlimen Johor Bahru di sini, hari ini. Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

SHAHRIR melayan tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Johor Bahru di Johor Bahru. – Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Shahrir berkata, dengan persetujuan itu, FGV tidak perlu mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa bagi menambah Ahli Lembaga Pengarah daripada 12 kepada 13 dan ia masih termaktub dalam perlembagaan syarikat.

“Dalam pegangan saham istimewa dalam FGV, kerajaan berhak lantik Pengerusi, Ketua Eksekutif dan Presiden Kumpulan dan seorang Ahli Lembaga Pengarah.

“Bagi syarikat yang berdaftar dengan Bursa Malaysia, bursa dan Suruhanjaya Sekuriti meletakkan syarat Ahli Lembaga Pengarah Bebas mesti melebihi Bukan Bebas supaya dapat mengimbangi mereka yang memiliki kepentingan tertentu dalam syarikat disenarai,” katanya.

Pada 23 Mei lalu, mesyuarat Lembaga Pengarah FELDA memutuskan dan melantik tiga nama bagi mewakili FELDA di Lembaga Pengarah FGV iaitu dua orang daripada pengurusan dan seorang lagi dari Lembaga Pengarah FELDA.

Krisis FGV menjadi semakin meruncing apabila empat pengurusan kanan syarikat itu dan anak syarikatnya termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad dipaksa bercuti, awal Jun lalu.

Tiga lagi adalah Ketua Pegawai Kewangan, Ahmad Tifli Mohd Talha; Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products, Kamarzaman Abd Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar.-BH.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.