Shahrir Harap Maklumat Baru Mampu Bantu SPRM Siasat Kes FELDA

KUALA LUMPUR – Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Tan Sri Shahrir Abdul Samad berharap penemuan maklumat baru berhubung satu penyiasatan kes lama yang melibatkan FELDA oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) akan membantu SPRM menyiasat kes tersebut secara terperinci.

Shahrir berkata, beliau gembira apabila SPRM menemui maklumat tersebut yang dilihat mampu mengekang sebarang perbuatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa di FELDA.

“Saya amat gembira membaca berita bahawa SPRM telah menerima maklumat baharu berhubung satu penyiasatan kes lama yang melibatkan FELDA.

“Saya berharap maklumat baru itu akan membantu SPRM dalam siasatannya terhadap apa-apa perbuatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa di FELDA,” kata Shahrir dalam satu kenyataan, hari ini.

April lalu FELDA dan seluruh kakitangannya telah melaksanakan Ikrar Bebas Rasuah SPRM dan ‘Whistleblowing Policy’ untuk memperkukuhkan integriti FELDA dan kakitangannya.

“Integriti harus menjadi prinsip utama dalam FELDA supaya kami dapat terus memberi tumpuan dalam memberikan nilai kepada ‘stakeholder’ utama kami,” katanya.

Shahrir memberitahu FELDA akan memberikan kerjasama kepada SPRM dalam penyiasatan kes lama itu supaya dapat mengembalikan imej FELDA seperti dahulu.

“Kami akan bekerjasama sepenuhnya dengan SPRM dalam penyiasatannya supaya kami dapat kembali ke zaman kegemilangan seperti dahulu.

“Sekiranya kita benar-benar boleh ‘balik asal’ sebagai sebuah organisasi yang bersih, cekap dan boleh dipercayai, saya pasti ‘stakeholders’ kita akan mendapat tempias positif,” tambah Shahrir.

SPRM pada Isnin memaklumkan akan membuka kertas siasatan baharu terhadap FELDA selepas menerima maklumat baharu mengenai satu isu yang melibatkan FELDA.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad memaklumkan siasatan menyeluruh yang membabitkan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) masih diteruskan biarpun siasatan FELDA akan dilakukan.

 

 

Leave a Reply