Pemberi Maklumat Dilindungi FELDA

KUALA LUMPUR: FELDA akan mengukuhkan dasar melindungi pemberi maklumat dalam organisasi itu, sebagai langkah meningkatkan lagi urus tadbir yang baik syarikat terutama dalam menangani gejala rasuah.

Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, berkata serbuan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap FELDA Investment Corp Sdn Bhd (FIC) hari ini menjadi bukti FELDA komited melindungi pemberi maklumat.

“Ini antara proses kita (lakukan) untuk meningkatkan urus tadbir dalam FELDA. Apabila kita tanda tangani ikrar anti rasuah dan mengambil dasar melindungi memberi maklumat itu, itu juga satu cara kita tingkatkan integriti kita.

“Saya gembira dengan perkembangan terbaru hari ini (serbuan SPRM) terhadap FIC. Mereka menemui petunjuk baharu dan menyerahkan kepada SPRM untuk mengambil tindakan. FELDA tidak akan masuk campur dengan siasatan SPRM,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Terbuka Aidilfitri anjuran FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV) di Taman Tasik Titiwangsa, hari ini.

Yang turut hadir, Pemangku Pengerusi FGV, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob dan pegawai pengurusan tertinggi FELDA serta anak syarikatnya.

Pada jam 10.20 pagi tadi, pegawai SPRM menyerbu pejabat FIC dan mengambil dokumen berkaitan amalan salah laku dan rasuah membabitkan anak syarikat FELDA itu.

Ketika ditanya adakah beliau dihubungi SPRM selepas mendedahkan ‘sesuatu yang tidak kena’ dalam urusan FIC dan turut mengarahkan ahli lembaga pengarah syarikat itu meletak jawatan, Shahrir mengesahkan beliau tidak dihubungi agensi berkenaan.

“Saya meminta mereka melepaskan jawatan kerana prestasi yang ditunjukkan tidak memberangsangkan,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply