Forum Perdana Ehwal Islam “Bakti Disemai, Budi Dituai”

Sempena dengan sambutan Hari Peneroka Peringkat Kebangsaan 2017, majlis Forum Perdana Ehwal Islam sempena Ekspresi Felda Negaraku Malaysia telah berlangsung malam tadi. Tahniah buat Felda kerana majlis ini berlangsung dengan jayanya dengan kehadiran lebih dari seribu orang yang hadir. Ternyata, dengan barisan panel-panel hebat serta moderator yang menghidupkan suasana majlis, ia telah membuka mata penonton dengan kupasan ilmu yang sungguh mantap.

Forum Perdana ini telah mengupas tajuk “Bakti Disemai, Budi Dituai” yang mana tajuknya sangat berkait rapat dengan peneroka Felda, anak-anak Felda dan umumnya masyarakat kita. Antara pengisian yang menjadi tumpuan ialah soalan dari moderator iaitu berkenaan apakah  yang boleh dibuat oleh generasi ketiga Felda supaya dapat menginovasikan Felda pada masa hadapan?

Soalan ini dijawab oleh panel pertama forum iaitu Dato’ Dr Izhar Ariff Mohd Kashim, pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau berpendapat bahawa generasi ketiga Felda harus rujuk kembali pada Al-Quran yang mana ada sepotong ayat Allah SWT berpesan supaya jangan kita berpecah sesama manusia dan kita harus bersatu agar ummah kita kuat. Jika hendak berjaya, haruslah berfikir dan kembali lihat kesusahan ibu bapa mereka semasa mula-mula meneroka tanah Felda dahulu. Dengan ini, dapat memberi kesedaran supaya mereka bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib dan menginovasikan perkara baharu untuk Felda.

Tambah beliau lagi, anak-anak generasi ketiga ini wajib memantapkan ilmu mereka. Belajar dan terus belajar hingga ke tahap yang terhebat. Terdapat lebih lapan ratus ribu anak-anak generasi peneroka ini di seluruh Malaysia yang mana ramai juga lahir dari Institusi Pengajian Tinggi Awam, dan ada juga yang mempunyai ijazah sarjana. Mereka ini harus pandai dalam membuat kajian dan memantapkan ilmu agar bersungguh-sungguh untuk mengubah Felda ke arah yang lebih berinovatif selaras dengan perubahan masa.

 

Panel kedua, Dato’ Badlishah Alauddin, Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Agama Islam Pahang turut memberi pendapat, anak-anak peneroka generasi ketiga ini haruslah kreatif. Sebagai contoh, cuba lihat negara China, mereka kreatif dalam mencipta pelbagai barang dan dalam pertanian baru-baru ini mereka mampu cipta satu bahan yang boleh membuatkan buah tomato tahan lama untuk di eksport ke luar negara. Dengan itu, anak-anak muda ini harus berfikir lebih kreatif, dan mungkin mampu mencipta hasil terbaru dari buah kelapa sawit.

Kemudian, anak-anak peneroka ini juga boleh lakukan penambahbaikan sedia ada. Contohnya tanah yang diteroka dibiarkan kosong tanpa tanam apa-apa dan tiada langsung hasil yang dapat. Mereka boleh rujuk kepada Felda, Felcra, Mara dan sebagainya bagi mendapatkan nasihat untuk membangunkan dan berbudi pada tanah yang tidak digunakan itu.

Jika kita berusaha, pasti ada hasilnya. Ayuh, marilah jadi peneroka terbilang dan sentiasa melakukan perubahan demi memantapkan lagi Felda dan sentiasa berbudi pada tanah yang kita ada.

Forum Perdana tadi dilihat sebagai satu sesi untuk berkongsi ilmu dan semoga ianya terus menjadi wadah untuk tatapan masyarakat semua.

 

Oleh: Naha.

Leave a Reply