#TN50: Prinsip Muafakat, Kesetiaan, Tawakal Akan kekalkan FELDA Di Masa Hadapan – Shahrir Samad

PUTRAJAYA: Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Tan Sri Shahrir Abdul Samad menggariskan tiga prinsip, muafakat, kesetiaan dan tawakal yang akan mengekalkan kedudukan FELDA pada tahun 2050 dan tahun-tahun akan datang.

Shahrir berkata, tiga prinsip ini akan mampu meneruskan legasi perkembangan FELDA yang telah dibuat dan diperkenalkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak pada tahun 1956.

“Tahun 2050, FELDA sudah berusia 94 tahun. Hari ini, kita berbincang bagaimana kita mencorak FELDA untuk tahun 2050. Kita yakin dan percaya, legasi yang ditinggalkan oleh Tun Abdul Razak disambung oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, anaknya sendiri nak melihat FELDA berjaya pada tahun 2050.

“Untuk kekalkan FELDA, kita perlu kembali semula kepada prinsip asal untuk menjayakan FELDA pada hari ini ke masa hadapan. Yang paling penting adalah muafakat. Sekiranya tiada muafakat pada zaman Tun Razak, kita (FELDA) tidak akan sampai ke sini (kejayaan). Peneroka, anak-anak peneroka, generasi peneroka dan semua harus muafakat dalam semua perkara, tidak kira muafakat mengenai tanam buah sawit, kerjasama uruskan ladang, kerjasama antara peneroka dan petugas dan sebagainya,” kata Shahrir dalam program Dialog TN50: Aspirasi Warga FELDA Ekspresi FELDA Negaraku Malaysia sempena Hari Peneroka Peringkat Kebangsaan 2017, di sini, hari ini.

Tambah Shahrir, setiap tugas atau tanggungjawab yang dipikul oleh semua warga FELDA dan petugas FELDA juga generasi baharu perlu menerapkan prinsip kesetiaan dalam diri agar FELDA tidak ranap satu masa nanti.

Malah, ia disusuli dengan nilai tawakal selepas berusaha menjaga nama baik FELDA dan tanah rancangan FELDA selain tidak boleh menolak pembaharuan yang dilakukan terhadap FELDA supaya kedudukan FELDA tidak ketinggalan jika dibandingkan dengan organisasi lain.

“Kedua, tentunya nilai kesetiaan. Kita perlu setia kepada FELDA untuk kekalkan FELDA di negara ini dan terkenal di mata dunia. Ketiga, harusnya kita bertawakal. Itu adalah kehendak dan keperluan sebagai orang Islam.

“Hari ini, kalau kita mahu melihat FELDA ke depan, kita tidak boleh lari dan tolak apa yang berlaku kepada negara, dan tidak boleh menolak apa pembaharuan dan penambahbaikan kepada FELDA, kalau tidak, kita akan ketinggalan,” katanya.

Shahrir juga berkata, pengenalan dan pembangunan FELDA yang telah dibuat oleh Tun Abdul Razak sudah seimbang yang telah membangungkan FELDA dari bawah hingga berjaya ke kedudukan tertinggi pada tahun sekarang.

Justeru, beliau mahukan kejayaan FELDA dikekalkan dan diterukan berteraskan prinsip-prinsip yang telah digariskan.

Dialog TN50 Aspirasi FELDA diadakan sempena sambutan Hari Peneroka Peringkat Kebangsaan 2017 yang berlansung selama tiga hari bermula 21 Julai sehingga 23 Jula 2017 (Ahad).

Ia turut dihadiri oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim dan Pengarah Seranta FELDA, Haji Khairuddin Mohamad dan Pengerusi Majlis Belia FELDA (MBFM), Mohd Fadzly Hassan sebagai moderator dialog ini.

 

Leave a Reply