#TN50: SPNB ‘Penyelamat’ Generasi Baharu FELDA Dapatkan Rumah

PUTRAJAYA: Usahasama Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB) dalam membina rumah kepada generasi baharu FELDA dilihat sebagai membantu golongan tersebut mendapatkan rumah seperti yang diusahakan oleh FELDA, kata Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dalam program Dialog TN50 Aspirasi FELDA di Putrajaya, hari ini.

Shahrir mengulas mengenai isu perumahan yang dihadapi oleh generasi baharu FELDA apabila cadangan diusulkan oleh Mohd Roshidi Shamsudin dari FELDA Lui Timur, Wilayah Raja Alias agar masalah perumahan diselesaikan dengan kadar segera.

Projek Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) yang telah memulakan projek membina rumah sebanyak 8,400 unit sebelum ini terbengkalai apabila timbulnya masalah generasi baharu tidak mempunyai slip gaji bagi membuat pinjaman kepada bank dalam proses membeli rumah PGBF.

Justeri itu, usahama FELDA dan SPNB dilihat sebagai pemudah cara kepada generasi baharu yang tidak perlu menyediakan slip gaji untuk membuat pinjaman membeli rumah yang dibina oleh SPNB.

“Memang betul, PGBF bina 8,400 unit rumah dan ada yang terbengkalai, projek menjadi perlahan kerana patutnya target asal mahu buat 20,000. Masalahnya soal slip gaji, generasi baharu ada yang tidak mempunyai slip gaji dan susah untuk membuat pinjaman.

“Sebab itu FELDA buat dengan SPNB, generasi baharu hanya perlu bayar RM270 sebulan kepada SPNB. Tidak perlu susah-susah ke bank untuk bayar balik pinjaman dan sediakan slip gaji semasa mahu membuat pinjaman yang akhirnya tidak boleh meminjam. Pembelian tidak perlu slip gaji.

“Jadi, usahama dengan SPNB membantu generasi baharu dapatkan rumah dan modul yang telah kita laksanakan di Sg. Sayong, Kuali Johor sebagai contoh. Dan kita buat projek perintis di Terengganu juga,” terang Shahrir.

Selain itu, Shahrir berkata tidak salah untuk menggunakan agensi kerajaan yang sedia ada seperti SPNB dalam membantu FELDA menyelesaikan masalah pemilikan rumah mampu milik kepada generasi baharu FELDA.

“Pendekatan kita kalau dah ada agensi kerajaan SPNB, sebagai FELDA pelik untuk tubuhkan agensi sendiri. Apa salahnya gunakan agensi yang sediakan untuk laksanakan dan capai objektif dan taggungjawab kita,” katanya lagi.

April lalu, FELDA dan Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi melaksanakan projek pembinaan rumah mampu milik untuk generasi baharu FELDA di tanah-tanah rancangan.

Projek kediaman itu yang dikenali sebagai Rumah Generasi Baharu FELDA menyasarkan Terengganu sebagai negeri perintis sebelum meluaskannya ke negeri lain di seluruh negara.

Kediaman generasi baru FELDA itu berkonsepkan rumah teres dengan jangkaan harga jualan sama seperti Projek Rumah Mesra Rakyat iaitu di bawah RM65,000 seunit.

Shahrir berkata, pihaknya bersama SPNB akan bersama-sama menjangka membina 20,000 unit rumah lagi sehingga tempoh 2018 dengan kerja-kerja awal seperti sukatan tanah telah dilaksanakan.

Leave a Reply