Anak Muda FELDA Jangan Buang Masa Tak Buat Apa-apa – Jalil Hamid

PUTRAJAYA – Pelakon dan pelawak negara, A. Jalil A. Hamid menasihati anak-anak muda iaitu belia FELDA agar tidak membuang masa tanpa melakukan perkara-perkara dan aktiviti yang berfaedah.

Artis veteran yang mesra dikenali sebagai Jalil Hamid itu mahukan anak-anak muda FELDA untuk menimba ilmu yang bermanfaat lebih-lebih lagi ilmu seni.

Jalil Hamid yang juga sebagai Presiden Ikatan Seni Komuniti Anak Felda (ISKAF) berkata, menjadikan seni sebagai sumber kerja utama adalah perkara yang elok dan mulia.

Malah, tujuan penubuhan ISKAF adalah untuk mengumpulkan semua anak-anak muda FELDA dan warga FELDA supaya dapat menonjolkan bakat dan mengembangkan lagi bakat diri yang ada.

“Anak-anak muda, jangan buang masa duduk tidak buat apa-apa, ada baik belajar sikit-sikit, bermula dari kosong pun tidak apa.

“Saya tubuhkan ISKAF tujuannya adalah untuk kumpulkan anak-anak FELDA tidak kira tua atau muda, kalau minat dengan seni ayuh bangunkan. Seni ini perkara yang elok, mulia. Boleh banteras banyak perkara,” kata Jalil yang ditemu bual ketika konsert sambutan Hari Peneroka FELDA 2017, di sini, Sabtu lalu.

Tambah Jalil Hamid, menceburi bidang seni dapat dijadikan sumber pendapatan lebih-lebih lagi di FELDA kerana ia adalah bekalan yang berguna untuk masa hadapan.

“Saya rasa, biarlah menjadi satu sumber kepada kita di FELDA terutamanya. Ini akan mengisi ruang anda, kita tidak tahu masa depan kita, apa yang ada seperti ilmu seni boleh jadi bekalan untuk kita,” katanya.

Mengimbau kembali detik menjadi artis ternama, Jalil Hamid memberitahu minatnya kepada dunia seni bermula dengan mengadakan aktiviti muzik di kampungnya, Kampung Kuala Masai yang dikenali dengan nama kampung FELDA Cahaya Baru.

Hidup dalam serba kekurangan di waktu itu tidak menghalang dirinya untuk mengadakan pelbagai aktiviti yang bermanfaat yang seterusnya menubuhkan kumpulan belia yang mencipta pelbagai aktiviti termasuk aktiviti seni.

“Di kampung, tak ada aktivit, kena cipta sendiri, Saya tertarik untuk buat muzik. Dulu ada kugiran kampung, saya teringin nak bermain, saya curi-curi belajar dan akhirnya tertubuh sebuah ‘band’ di kampung dan saya sertai. Saya menjadi pengangkat barang, kadang-kadang curi-curi menyanyi.

“Kita di FELDA sangat bersemangat nak buat aktiviti bangsawan, tubuhkan kumpulan. Dari situ mendorong saya untuk membina kumpulan belia sampai jadi belia yang aktif waktu itu, kami banyak bertading antara FELDA di negeri Johor,” cerita Jalil Hamid.

Jalil Hamid akui, jatuh bangun kehidupan di FELDA telah membantu dirinya berjaya menjadi seorang anak seni pada hari ini.

Pengalaman yang dilalui di FELDA mengajar dirinya untuk tidak mudah putus asa dan bersyukur dengan nikmat kurniaan rezeki yang diterima dirinya dari dahulu hingga kini.

 

 

 

 

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.