Que Haidar Jadikan Kesusahan Ayah Di FELDA Sebagai Inspirasi Berjaya

PUTRAJAYA – Kesusahan yang dilalui oleh Allahyarham Ayah kepada pelakon terkenal, Que Haidar sewaktu membantu membuka tanah rancangan FELDA dan tinggal di tanah rancangan FELDA Taib Andak, Kulai, Johor menjadikan inspirasi untuk dirinya berjaya hari ini.

Pemilik nama Tengku Iskandar Tengku Haidar berkata, sekiranya dia menghadapi masalah, dirinya akan terfikirkan ayahnya yang tetap berjaya membesarkan 10 orang anak-anak tanpa sebarang kemudahan.

“Bila saya berkeluarga sekarang ini, apa-apa masalah yang saya lalui, saya akan fikirkan ayah saya. Macam mana dia lalui hidup besarkan anak-anak dengan serba kekurangan tanpa pamerkan masalah dan sentiasa bahagia.

“Bila saya ingat dia, apalah sagat masalah yang saya ada berbanding dengan dirinya yang hidup saya lengkap dengan kemudahan pada hari ini,” kata Que Haidar ketika berlangsungnya konsert artis sempena sambutan Hari Peneroka FELDA 2017 di Putrajaya, minggu lalu.

Que Haidar berkata, setiap anak-anak muda FELDA perlu mempunyai cita-cita yang besar.

Jika tidak dapat mencapai cita-cita yang paling besar, setidaknya anak-anak muda zaman sekarang perlu berusaha mencapai cita-cita di tangga bawah sedikit dari apa yang diharapkan.

“Saya masuk ke semua FELDA seluruh Malaysia bersama ISKAF memberi ceramah kepada anak-anak muda, pasanglah cita-cita besar.

“Kalau tidak mampu capai cita-cita yang besar itu, tak capai yang paling atas, setidaknya mungkin kita capai satu tangga bawah dari yang atas,” katanya.

Selain itu, Que Haidar mahukan anak-anak muda FELDA untuk sentiasa ingat perjuangan ibu bapa mereka yang telah bersusah-payah membangunkan FELDA serta tidak merungut dengan kemudahan yang dikecapi pada zaman sekarang.

“Banyak kita dengar rungutan dari generasi kedua sekarang ini tapi tidak semua, fikirlah perjuangan mak ayah kita dahulu.

“Kesusahan yang mereka alami dahulu berbanding dengan kita lalui zaman sekarang adalah jauh beza,” tambahnya.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.