Tiada Rombakan Besar-besaran Dalam JPJ – Abdul Aziz

PUTRAJAYA – Tiada keperluan untuk diadakan rombakan besar-besaran dalam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) susulan pertukaran dua pegawai kanan jabatan itu ke jabatan lain, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi.

“Tiada rombakan, hanya mengisi tempat yang kosong sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penghargaan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Operasi Bersepadu sempena Hari Raya Aidilfitri peringkat Kebangsaan, di sini hari ini.

Beliau ditanya jika JPJ akan melakukan rombakan besar-besaran susulan pertukaran Timbalan Ketua Pengarah Operasi JPJ Datuk Yusoff Ayob dan Pengarah Penguat Kuasanya Datuk V Valluvan Veloo ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkuat kuasa Jumaat lepas.

Menurut laporan, pertukaran Yusoff dipercayai mempunyai kaitan dengan kes mahkamah yang dihadapinya berhubung penggunaan lorong kecemasan manakala pertukaran Valluvan dipercayai berkaitan dengan insiden pembabitan tiga anggota Pasukan Tindakan Khas (PTK) JPJ dalam kes pecah masuk pejabat Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Nadzri Siron pada 13 Julai lepas.

Mengenai tiga anggota PTK terbabit, Abdul Aziz berkata tindakan terhadap mereka akan diputuskan JPA dan polis juga masih menyiasat kes berkenaan. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.