‘Ada Pihak Tak Senang Pencapaian Saya’ – Sajat

SHAH ALAM: Usahawan kosmetik terkenal, Nur Sajat, menerima positif pendedahan kononnya identiti dan nama sebenarnya, yang viral di media sosial, beberapa hari lalu.

Beliau berkata, perkara itu mungkin didalangi oleh mereka yang tidak senang dengan pencapaiannya, terutama dalam bidang perniagaan kecantikan yang diusahakan.

Nama yang dikatakan nama sebenar Nur Sajat iaitu Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman, viral di Internet hingga mencetuskan spekulasi mengenai jantina sebenar wanita itu.

“Saya anggap semua ini sebagai resam apabila kita sudah mencapai sesuatu. Saya tahu ada yang tidak senang dengan pencapaian saya.

“Apabila saya sudah berjaya, baru semua ini timbul, kenapa tidak ketika saya bukan siapa-siapa dan tidak ada apa-apa dulu?” katanya kepada BH Online pada majlis rumah terbukanya, di sini, hari ini.

Dalam nada berseloroh, Nur Sajat berkata, beliau menganggap dirinya antara permata terpilih yang menjadi perhatian sehingga ramai ingin ambil tahu mengenainya.

Katanya, beliau lebih berminat memberikan fokus melebarkan empayar perniagaan yang sedang berkembang baik.

“Bagi saya, setiap yang positif saya ambil untuk memotivasikan diri dan terus menjadi lebih baik, manakala yang negatif saya jadikan teladan untuk berhati-hati.

“Ini adalah cabaran yang perlu saya hadapi sebagai usahawan. Apapun, semua ini tidak sedikit pun melemahkan saya, sebaliknya memberikan saya semangat untuk terus berjaya,” katanya.

Beliau berkata, apa yang lebih penting adalah restu kedua-dua ibu bapanya dan niat untuk membesarkan dua anak angkatnya.

Sementara itu, Sajat mengakui akan merakamkan single dan menerima pelawaan berlakon filem tidak lama lagi. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.