Gajah Masuk Kawasan Perumahan

TAWAU: Sekumpulan gajah berkeliaran dan memasuki kawasan perumahan pekerja ladang di Estet Dumpas, dekat sini, petang semalam.

Walaupun dianggap biasa oleh penduduk dan warga ladang berkenaan, kehadiran kumpulan gajah terbabit tetap menimbulkan kebimbangan.

Dalam kejadian terbaru kira-kira jam 2 petang semalam, tiada kejadian tidak diingini atau kerosakan dilaporkan.

Gambar kelibat kumpulan gajah dipercayai dari kawasan hutan berhampiran itu dirakam penduduk hingga viral di media sosial.

Difahamkan, ia bukan kali pertama gajah berkenaan memasuki kawasan perumahan terbabit untuk mencari makanan.

Pegawai Hidupan Liar Daerah Tawau, Sailon Aris, berkata kumpulan gajah terbabit dihalau keluar dari kawasan perumahan itu oleh Pasukan Pemantau Gajah Dumpas yang diwujudkan pengurusan ladang.

“Kumpulan gajah ini kerap dikesan berkeliaran di beberapa kawasan ladang dan pihak kami dengan kerjasama pengurusan ladang memantau rapi kehadiran haiwan liar terbabit.

“Petang semalam kita juga menggerakkan pegawai dan anggota yang menjalankan pemantauan di kawasan dikesan menjadi lokasi sering diceroboh kumpulan gajah dari hutan berhampiran,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sailon berkata, keadaan dilaporkan terkawal dan pihak pengurusan ladang sudah mengambil tindakan sewajarnya termasuk menubuhkan pasukan pemantau bagi mengelak kejadian tidak diingini. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.