Kemasukan Guarana Dikhuatiri Bawa Penyakit SALB

PUTRAJAYA – Jabatan Pertanian melarang pengimportan biji benih dan anak pokok Guarana dari Brazil dan kawasan Tropika Amerika ke negara ini kerana dikhuatiri membawa penyakit Hawar Daun Amerika Selatan (SALB) yang boleh mengancam tanaman getah.

Ketua Pengarah Pertanian Datuk Ahmad Zakaria Mohamad Sidek berkata jabatan berkenaan mendapati biji benih pokok itu dibawa masuk secara haram dan ditanam di sebuah nurseri di Baling, Kedah.

Beliau berkata, Jabatan Pertanian telah menyita 30,000 anak pokok Guarana dari nurseri itu untuk dipantau bagi memastikan spora SALB tidak merebak ke kawasan sekitar.

“Pihak jabatan akan bekerjasama dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk memantau kawasan persekitaran nurseri dan sepanjang laluan masuk biji benih itu selama enam bulan bagi memastikan tiada simptom penyakit SALB.

“Jika spora SALB terkena pada pokok getah (perumah), ia boleh bercambah dan merebak, seterusnya menyebabkan penularan penyakit itu,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Ahmad Zakaria berkata pengimportan sebarang biji benih atau tumbuhan dari kawasan Tropika Amerika adalah dilarang mengikut Peraturan-Peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981, kecuali untuk tujuan penyelidikan.

SALB yang disebabkan kulat Microcylus ulei, boleh menyebabkan anak pokok getah tumbuh bantut selain pokok meranting, kering dan tidak mengeluarkan hasil produktif jika serangan terjadi kepada pokok besar, katanya.

“Keadaan ini boleh melumpuhkan industri getah negara yang bernilai lebih RM18 bilion setahun,” katanya.

Ditanya mengenai tindakan Jabatan Pertanian terhadap anak pokok Guarana yang disita, beliau berkata keputusan akan dibuat selepas proses pemantauan dan rawatan selesai.

Guarana merupakan tanaman herba yang digunakan sebagai diet tambahan serta memberi tenaga kerana kandungan kafeinnya dua kali lebih tinggi berbanding biji kopi. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.