Taktikal FELDA Terganggu

Kuala Lumpur: Percaturan FELDA United untuk mengutip tiga mata ketika bertemu Selangor pada perlawanan Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, hari ini sedikit terganggu apabila terpaksa beraksi tanpa Wan Zack Haikal Wan Nor dan Norshahrul Idlan Talaha.

Malah, kapten Shukor Adan juga belum pasti berada dalam kesebelasan utama dan keadaan itu sedikit sebanyak meresahkan jurulatih B Sathianathan yang mengimpikan untuk mengatasi Selangor.

“Jika FELDA masih berhajat menduduki sekurang-kurangnya tempat keempat liga, maka kami perlu mengalahkan Selangor, esok (hari ini).

“Ini bagi memastikan kami tidak tercicir jauh terutama selepas kalah kepada Perak, Sabtu lalu yang menyebabkan kami jatuh dari tangga keempat ke keenam liga.

Begitupun, Sathia mengaku misi memungut tiga mata malam ini bukan tugas mudah kerana Selangor sedang berada pada prestasi terbaik apabila kini menduduki tangga keempat liga dengan 27 mata, satu mata mengatasi FELDA.

“Selangor tidak pernah kalah sama ada dalam liga mahupun Piala Malaysia sejak pertandingan bersambung awal Julai lalu. Ini jelas membuktikan kemampuan mereka.

“Mat Yo (Norshahrul) dilanda kecederaan manakal Wan Zack pula digantung satu perlawanan selepas mengumpul tiga kad kuning.

“Shukor juga cedera. Walaupun tidak serius, sedikit sebanyak tetap mengganggu rentak permainannya ditambah pula faktor keletihan kerana jadual padat,” katanya. – HARIAN METRO

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.