Biarpun Selangor lebih banyak mengasak kubu tuan rumah pada 30 minit pertama perlawanan, namun skuad The Fighters terlebih dahulu membuka jaringan menerusi penyerang importnya, Thiago Agusto pada minit ke-40.

Felda United tidak menunggu lama untuk menambah jaringan menerusi Ifedayo Olusegun tiga minit kemudian untuk skuad kendalian B. Sathianatan mendahului 2-0.

Red Giants bagaimanapun tidak mudah berputus asa apabila serangan balas pada masa kecederaan membuahkan hasil menerusi rembatan kencang Francis Forkey Doe di luar kotak penalti.

Memasuki babak kedua, Felda United menggandakan asakan dan tiga mata memihak kepada mereka selepas ketua pasukan, Muhammad Syukor Adan menghukum kealpaan pertahanan pelawat untuk menjaringkan gol ketiga pada minit ke-75. – UTUSAN ONLINE