Malaysia Sedia Bantu Selesai Krisis Qatar Jika Diperlukan – Hishammuddin

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak menolak apa jua jalan untuk membantu menyelesaikan krisis Qatar dengan beberapa negara Teluk, sekiranya diperlukan, kata Menteri Tugas-tugas Khas Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

Bagaimanapun buat masa ini, katanya, peluang patut diberikan terlebih dahulu kepada Kuwait sebagai negara pengantara dalam menangani krisis berkenaan.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata ini juga merupakan pendirian Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dianggotai 57 negara Islam.

“Kita pantau secara dekat dan insya-Allah kalau diperlukan, hubungan yang telah kita wujudkan (dengan negara-negara teluk terlibat) boleh membantu dan meletakkan Malaysia dalam posisi yang bukan sahaja strategik tetapi boleh memainkan peranan lebih mendalam (dalam membantu menanggani krisis tersebut),” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (BN-Kota Tinggi) yang ingin tahu sama ada Malaysia bersedia sekiranya diminta untuk menjadi orang tengah.

Krisis bermula apabila Mesir, Emiriyah Arab Bersatu dan Bahrain yang diketuai Arab Saudi memutuskan hubungan laut, darat dan udara dengan Qatar pada bulan lepas kerana negara-negara berkenaan mendakwa Qatar menyokong keganasan, mengganggu hal ehwal dalaman negara lain dan berusaha menjalinkan hubungan baik dengan dengan Iran yang merupakan seteru Arab Saudi. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.