Pesara Kerajaan Disaran Sertai Persatuan

KOTA BHARU – Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) merayu kepada kira-kira 700,000 pesara di seluruh negara agar menyertai persatuan berkenaan supaya mereka dapat menyumbang tenaga dan idea kepada negara walaupun telah menamatkan perkhidmatan sebagai penjawat awam.

Presidennya Tan Sri Wan Mahmood Pawan Teh berkata setakat ini hanya 52,838 pesara menyertai persatuan itu dan jumlah berkenaan tidak mencapai 10 peratus daripada keseluruhan pesara yang ada ketika ini.

“Kita berharap dengan pengalaman yang dimiliki mereka, PPKM boleh menjadi orang tengah dalam apa jua pertelingkahan dan perselisihan yang berlaku kerana kematangan, pengalaman dan pendedahan pesara ketika berkhidmat menjadikan mereka mampu memikirkan cara terbaik untuk mencari penyelesaian dalam setiap permasalahan yang timbul.

“Ia boleh diibaratkan seperti jambatan kukuh antara kerajaan dengan rakyat di peringkat akar umbi serta mampu menjadi pemangkin menjana perpaduan yang lebih kukuh dan berkekalan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Ke-30 PPKM di sini hari ini.

Wan Mahmood berkata PPKM adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkecuali daripada politik atau mempunyai apa-apa kepentingan dalam mana-mana kumpulan. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.