Satu Lagi Hotel Milik FIC Disiasat SPRM Di Sarawak

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat pembelian sebuah lagi hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) di Kuching, Sarawak.

Menurut sumber dalaman, hotel bertaraf empat bintang itu dipercayai telah dibeli FIC dengan harga yang jauh lebih tinggi daripada harga asal.

Sumber berkata siasatan berhubung pembelian hotel berkenaan dibuat susulan siasatan SPRM berkaitan pembelian hotel oleh FIC di London antara tahun 2013 dan 2015.

“Maklumat awal yang diterima oleh pasukan penyiasat menunjukkan pembelian hotel tersebut telah mengakibatkan kerugian ratusan juta ringgit kepada FIC.

“Pasukan penyiasat kini sedang menilai maklumat yang diterima dan dijangka akan pergi ke pejabat FIC di beberapa lokasi untuk mendapatkan dokumen dan maklumat berkaitan pembelian hotel tersebut dalam masa terdekat,” kata sumber itu kepada Bernama.

Pengarah Jabatan Siasatan SPRM Datuk Simi Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan dan pihaknya telah menjalankan siasatan.

“Pihak saya telah memulakan proses mengumpul maklumat berhubung pembelian hotel itu dan siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada wujudnya unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam proses pembelian tersebut,” katanya.

Baru-baru ini, SPRM dalam satu kenyataan berkata beberapa individu akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung pembelian sebuah hotel empat bintang bernilai RM330 juta di Kensington oleh FIC pada 2014 selepas SPRM menerima maklumat baharu berhubung kes itu.

Hasil maklumat siasatan awal mendapati FIC, yang merupakan entiti pelaburan yang diwujudkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) pada 2013, didakwa membeli hotel itu dengan harga jauh lebih tinggi daripada harga asal sehingga mengakibatkan FIC mengalami kerugian jutaan ringgit.

Kenyataan itu menjelaskan individu-individu berkenaan merupakan saksi penting bagi membantu siasatan mengenai proses pembelian hotel tersebut antara 2013 dan 2015.

SPRM pernah menyiasat kes ini pada Mei 2015 dan mendapati tiada sebarang salah laku dalam pembelian itu. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.