Semua Pihak Disaran Berkolaborasi Bersama AADK Dalam Membasmi Gejala Dadah

PORT DICKSON – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) hari ini memuji inisiatif 1Strategic Partner Community (1SPC) yang dilaksana oleh kerajaan Negeri Sembilan yang disifatkannya berjaya melibatkan komuniti dalam membantu AADK menangani gejala dadah.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin berkata sejak dilaksanakan sebagai projek rintis di Kampung Sungai Buloh Jelebu pada 2014, inisiatif yang berasaskan Strategi Lautan Biru itu kini diperluas ke 18 buah kampung dan tanah rancangan Felda di seluruh negeri.

Beliau berkata antara kegiatan yang dijalankan ialah program mentor-menti yang menjadikan penduduk kampung sebagai mentor dan membantu memantau aktiviti Orang Kena Pengawasan.

“Inilah contoh ‘community empowerment’ di mana masyarakat setempat memberi kerjasama dan mengambil ‘ownership’ serta tanggungjawab masing-masing dalam membanteras dadah,” katanya yang ditemui sempena program lawatan kerja Setiausaha Kerjaaan Negeri Sembilan Datuk Seri Mat Ali Hassan ke ‘Pusat Perkhidmatan dan Penjagaan’ (CCSC) di sini.

Beliau berkata di bawah 1SPC, kerajaan negeri menjadi tonggak pelaksanaan dengan kerjasama AADK Negeri Sembilan dan beberapa jabatan lain. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.