Dua Remaja Maut Motosikal Bertembung Sesama Sendiri

BATU KURAU – Dua remaja maut selepas motosikal yang ditunggang mereka bertembung sesama sendiri berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Perak di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.20 malam, mangsa yang dikenali sebagai Abd Rasyid Rosidi, 16, dan pelajar sekolah terbabit Mohd Saharudin Sahrol Azman, 14, masing-masing mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Harrith Kam Abdullah berkata insiden itu berlaku apabila motosikal yang ditunggang Abd Rasyid dari arah Anak Kurau bertembung dengan sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan.

“Ekoran kemalangan itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan manakala motosikal mereka turut mengalami kerosakan teruk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kedua-dua mayat dibawa ke Hospital Taiping untuk bedah siasat. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.