Ibu Bapa Perpendidikan Tinggi Ramai Tolak Vaksin

PUTRAJAYA – Kebanyakan ibu bapa yang menolak vaksin merupakan mereka yang tinggal di bandar dan berpendidikan tinggi, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam hari ini.

Beliau berkata, ini merupakan cabaran dan kebimbangan pihaknya dalam memberi kesedaran dan pendidikan kepada kumpulan tersebut demi kesihatan masa depan kanak-kanak.

“Kementerian mengesan hampir 1,600 individu yang tidak mendapat suntikan vaksin tahun lepas dan angka ini meningkat setiap tahun. Yang menjadi kebimbangan kita ialah golongan ini merupakan mereka yang berpendidikan tinggi dan tahu mengenai kebaikan vaksin.

“Memang menjadi cabaran untuk memberikan kesedaran kepada mereka dan ada kala terpaksa berhujah dengan mereka mengenai kebaikan vaksin untuk anak-anak mereka. Ada beberapa ibu bapa mengamalkan perubatan homeopati dan berpendapat homeopati mampu melindungi segala jenis penyakit,” katanya dalam sidang media di kementeriannya, di sini hari ini.

Dr Subramaniam berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kerajaan sedang mengkaji untuk hanya membenarkan kanak-kanak yang divaksin mendaftar di tadika.

Ditanya jika ada tadika di Malaysia sudah mengamalkan amalan itu, Dr Subramaniam berkata, pihaknya tidak pasti sekiranya ada tadika sudah berbuat demikian tetapi menyifatkan kewajipan untuk berbuat demikian adalah keputusan dasar kerana ia melibatkan hak untuk mendapatkan pendidikan dan perlindungan bagi kanak-kanak lain.

Dalam perkembangan lain, Dr Subramaniam berkata, beliau telah mengadakan perbincangan dengan doktor swasta dan Organisasi Pengurusan Penjagaan (MCO) dan Pentadbir Tuntutan Perubatan Pihak Ketiga (TPA) pada Isnin lalu dan telah mendapatkan persetujuan untuk menyelaraskan yuran di bawah peruntukan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.

Beliau berkata, ini kerana pihaknya menerima banyak aduan mengenai TPA dalam menguruskan faedah kesihatan pekerja berdasarkan yuran dan peraturan sendiri yang perlu dipatuhi doktor.

“Perkara ini dalam proses pindaan akta dan sedang menunggu persetujuan peguam negara. Ia dijangka selesai dalam beberapa bulan akan datang. Apabila sudah selesai, bayaran yuran itu selaras dan para doktor perlu akur dengan yuran ditetapkan.

“Ada doktor menandatangani perjanjian secara individu dan mengenakan yuran serendah RM15. Kita bimbang sekiranya doktor mengenakan yuran sebegini rendah, adakah mereka akan memberikan perkhidmatan terbaik dan mencukupi kepada rakyat,” katanya.

Dr Subramaniam berkata, Kementerian Kesihatan juga mencadangkan doktor dan MCO, serta MCO dan majikan mengadakan satu perjanjian kontrak  dalam menguruskan faedah kesihatan pekerja berdasarkan yuran dan peraturan sendiri yang perlu dipatuhi doktor, yang pihaknya menjalankan peranan pemantau peringkat ketiga. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.