Menurut bapa bayi tersebut, Mohd. Nasri Mohd. Yusof, 26, anak tunggalnya itu, Hayfa Afrina Mohd. Nasri disahkan meninggal dunia di unit rawatan rapi (ICU) HSB kira-kira pukul 3.40 petang.

Katanya, dia menerima mesej daripada pengasuh yang juga jirannya menyatakan Hayfa Afrina kelihatan pucat kira-kira pukul 4 petang, Jumaat lalu.

“Saya terus ke rumah pengasuh dan mendapati Hayfa Afrina sudah tidak sedarkan diri dan segera membawanya ke Hospital Kulim.

“Anak saya bagaimanapun dipindahkan ke HSB untuk rawatan lanjut dan dirawat di ICU sebelum meninggal dunia semalam,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HSB di sini hari ini.

Tambahnya pengasuh tersebut ada memaklumkan yang anaknya terjatuh, sehari sebelum kejadian namun anaknya tidak menunjukkan sebarang kelainan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Ahmad Nasir Jaafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

“ Siasatan awal kini dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE