FELDA Rugi Lebih RM2 Bilion Dalam FGV

KUALA LUMPUR: FELDA alami kerugian sebanyak RM2.064 bilion di dalam Felda Global Ventures Holding Bhd (FGV) sehingga 30 Jun lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim, berkata kerugian itu berdasarkan kepada pegangan secara langsung sebanyak 21.25 peratus oleh FELDA di dalam FGV.

“Kerugian tidak nyata yang dianggarkan dialami oleh FELDA ialah sebanyak RM2.064 bilion. Bagaimanapun, jumlah kerugian tidak nyata ini tidak direkodkan dalam Penyata Kewangan FELDA kerana FGV dikategorikan sebagai sebuah syarikat bersekutu.

“Ini adalah mematuhi Piawaian Laporan Kewangan Malaysia (MFRS) 128 : Pelaburan dalam Syarikat Bersekutu dan Usahasama,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr Ko Chung Sen (DAP-Kampar) yang ingin mengetahui mengenai jumlah wang yang dilaburkan FELDA dalam FGV dan Felda Investment Corporation (FIC) serta nilai semasa pelaburan berkenaan dan jumlah keuntungan atau kerugian serta adakah kerajaan bercadang menjadikan FGV syarikat persendirian.

Mengulas lanjut, Razali berkata, masih tiada lagi keputusan daripada kerajaan untuk menjadikan FGV sebagai sebuah syarikat persendirian.

Katanya, ia memandangkan syarikat itu adalah syarikat senaraian awam yang tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan oleh Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti.

“Sehingga 30 Jun lalu, FELDA mempunyai pegangan langsung sebanyak 21.25 peratus dalam FGV dan pegangan tidak langsung (melalui Felda Assest Holdings Company Sdn Bhd) sebanyak 12.42 peratus menjadikan jumlah keseluruhan pegangan FELDA dalam FGV sebanyak 33.67 peratus.

“Pegangan saham FELDA dalam FGV direkodkan sebagai Pelaburan Dalam Syarikat Bersekutu di mana FGV direkodkan pada kos dengan nilai RM3,389.39 juta dalam penyata kewangan FELDA bagi tahun berakhir 31 Disember 2016.

“Sehingga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016, sebanyak RM328.33 juta telah dibayar oleg FGV kepada FELDA sebagai dividen ke atas pegangan saham FGV.

“Manakala FIC pula adalah anak syarikat milik penuh FELDA. Sehingga 30 Jun lalu, FELDA telah memberikan suntikan modal sebanyak RM500 juta kepada FIC,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.