Kematian Kanak-kanak Tiga Tahun Di Limbang Akibat Asfiksia

MIRI – Polis mengklasifikasikan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dari Limbang pada 27 Julai lepas sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak Datuk Dev Kumar berkata bedah siasat yang dijalankan di Hospital Miri semalam menunjukkan punca kematian kanak-kanak itu adalah kerana asfiksia akibat ditekap dengan sesuatu.

“Sepasukan anggota JSJ Limbang diketuai Inspektor Andrew Undum menahan ibu tiri mangsa yang berumur 22 tahun di rumah panjang di Kampung Terimah Lubai, Limbang pada 7.10 malam semalam,”katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.

Beliau berkata perintah reman akan dikeluarkan terhadap wanita itu di Limbang pagi ini bagi membantu siasatan kematian anak tirinya.

Sebelum ini, kes itu diklasifikasikan semula sebagai kematian mengejut, sementara menunggu keputusan bedah siasat dari Hospital Miri. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.