Pesta Buku Mabopa Jadi Acara Tahunan

SERDANG – Pesta Buku Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa) yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) di sini, akan menjadi acara tahunan berikutan sambutan menggalakkan diterima daripada pengunjung.

Presidennya, Ishak Hamzah berkata, Maeps menjadi lokasi penganjuran bagi memperkenalkan  salah satu destinasi pesta buku yang dikenali ramai.

“Hasrat kami pada masa akan datang adalah menjadikan Pesta Buku Mabopa sebagai pesta buku terbesar di Maeps, selain pesta buku antarabangsa.

“Untuk itu, kami akan menambah baik lagi penganjuran pesta ini dengan menyediakan pelbagai aktiviti menarik bagi menggalakkan minat orang ramai membaca buku,” katanya.

Menurutnya, konsep santai bersama keluarga yang dibawakan pada pesta buku kali ini dilihat menarik ramai pengunjung.

“Selain menghimpunkan 100 pempamer dalam kalangan ahli Mabopa, turut diadakan sekali adalah Pesta Kanak-kanak Islam Malaysia (MICF) ke-5 yang menjadi tarikan pengunjung,” katanya.

Pesta Buku Mapoba diadakan selama lima hari bermula 26 Julai dan berakhir semalam, menyediakan pelbagai genre buku serta tawaran diskaun sehingga 80 peratus.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.