Polis Sahkan Terima Laporan Tentang Van Putih

PONTIAN – Polis mengesahkan ada menerima laporan mengenai kehadiran tiga lelaki menaiki sebuah van putih mendekati seorang pelajar perempuan berusia 12 tahun di hadapan sebuah pusat tuisyen di bandar ini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Pontian, Suprintendan Zakaria Abdul Rahman berkata mengikut laporan polis yang dibuat pelajar berkenaan, kejadian berlaku lebih kurang pada jam 10.20 malam selepas dia selesai mengikuti kelas tambahan di pusat tuisyen tersebut.

“Difahamkan dia seorang diri ketika menunggu ibunya. Tiba-tiba datang sebuah van berwarna putih dipercayai dinaiki tiga lelaki mendekati pelajar perempuan itu.

“Dua lelaki itu kemudiannya turun dari van dan menyatakan mereka diarahkan menjemput pelajar perempuan itu kerana ayah dan ibunya pulang lewat dari kerja,” katanya.

Bagaimanapun, ketiga-tiga lelaki itu melarikan diri selepas sebuah kereta peronda polis lalu di kawasan tersebut.

“Pelajar perempuan itu tidak diapa-apakan. Pihak polis sudah mengambil keterangan dan siasatan masih dijalankan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Pontian, di sini, hari ini.

Menurut Zakaria, berita kehadiran van putih berkenaan juga telah tular di media sosial dan WhatApps sejak semalam.

“Pihak polis minta orang ramai tidak menyebarkan mesej yang salah dengan menambah cerita sehingga menimbulkan kerisauan terutama kepada ibu bapa yang mempunyai anak kecil yang bersekolah.

“Siasatan masih dijalankan dan pihak polis akan mempergiatkan rondaan di kawasan bandar. Kerjasama dari ibu bapa diperlukan untuk mengawasi anak-anak kecil dan tidak membiarkan mereka keseorangan,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.