Maut Disengat 60 Tebuan

JERTIH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun meninggal dunia selepas disengat lebih 60 ekor tebuan, kelmarin.

Mangsa, Muhammad Adrian Aiman Mohd Rosmin, murid Tahun 2 Sekolah Kebangsaan (SK) Benting Lintang, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kota Bharu, Kelantan pada jam 11 pagi semalam.

Bapa mangsa, Mohd Rosmin Ong Bo Jit@Hussin, 30, berkata, kejadian berlaku ketika anak sulungnya itu bermain sembunyi di kawasan bersemak yang terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya di Kampung Benting Lintang, dekat sini.

“Tiba-tiba mereka berempat diserang tebuan yang bersarang di atas pokok. Anak saya yang paling banyak kena sengat…seluruh badan dari kaki hingga ke muka, dianggarkan lebih 60 ekor tebuan.

“Anak saudara hantar dia pulang ke rumah dengan motosikal pada kira-kira jam 6.45 petang, kelmarin dan keadaannya ketika itu sudah lemah tetapi masih boleh bercakap,” katanya.

Mohd Rosmin berkata, beliau dia bersama isterinya, Nor Azah Hamid, 27, membawa anaknya ke Hospital Besut, tetapi kemudian dirujuk ke Hospital Kota Bharu untuk rawatan lanjut. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.