‘Tanya Kalau Suami Beri Hadiah Mahal’

KUALA LUMPUR: Golongan isteri boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pengubahan Wang Haram sekiranya menyembunyikan penyelewengan dilakukan suami mereka.

Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad, berkata isteri boleh dianggap bersubahat melakukan jenayah terbabit.

“Dalam Akta Pengubahan Wang Haram, seseorang boleh disabitkan kesalahan sekiranya tidak mengambil tindakan untuk memastikan sumber harta yang diperoleh.

“Justeru, isteri bila dapat hadiah mahal daripada suami, kena tanya dari mana dapat duit beli barang itu.

“Ada satu kes penjawat awam yang gred perkhidmatan hanya 52 tetapi ada duit berjuta-juta. Kita menemui wang tunai berjuta-juta dalam rumahnya.

“Bagaimana seorang isteri yang tinggal sebumbung tidak tahu mengenai wang terbabit?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Forum Bicara BH bertajuk ‘Rasuah – Cabaran Bagi Wanita’ yang dikendalikan Pengarang Bersekutu Ehwal Semasa BH, Kadir Dikoh, sebagai moderator di sini, hari ini.

Dzulkifli berkata, isteri berperanan memastikan suami tidak terbabit dalam rasuah dengan mengambil tahu gaji suami selain mempersoalkan dari mana sumber pendapatan suaminya.

“Isteri perlu memastikan apabila diberi hadiah mahal, tanya pada suami dari mana dia dapat wang hingga boleh membeli barangan yang mahal melebihi gajinya.

“Jika tidak berbuat demikian dan apabila SPRM sudah menjalankan siasatan, isteri berkenaan juga boleh dikenakan tindakan kerana bersubahat,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.