Najib Lancar Kempen Makan Buah-buahan Tempatan

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan ‘Kempen Lebihkan Makan Buah-buahan Tempatan’ bagi mempromosi buah-buahan tempatan dan produk berasaskan buah-buahan yang diadakan di perkarangan bangunan Parlimen di sini.

Perdana menteri yang diiringi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di tapak kempen itu kira-kira 1.30 tengah hari.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Timbalannya Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Sejurus melancarkan kempen itu, Najib melawat beberapa buah khemah yang menyajikan buah-buahan tempatan seperti durian, rambutan, nangka, belimbing, pisang dan manggis, selain produk berasaskan buah-buahan seperti kerepek, ais krim dan roti.

Buah-buahan itu disediakan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk anggota Parlimen, pegawai kerajaan dan petugas media yang berada di bangunan Parlimen hari ini.

Sementara itu, Ahmad Shabery yang ditemui pemberita berkata nilai eksport semasa buah durian telah mencapai lebih RM74 juta dan dijangka akan terus meningkat sekiranya lebih banyak pasaran luar ditembusi.

Beliau berkata keadaan ini memperlihatkan bahawa industri buah itu mampu menjadi satu daripada penjana kekayaan baharu buat negara memandangkan pasarannya yang semakin berkembang.

“Kita menyasarkan peningkatan nilai eksport buah durian bagi tahun ini sebanyak 10 peratus, berbanding RM74 juta sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata Singapura dan Hong Kong merupakan negara yang paling banyak mengimport buah durian dari negara ini. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.