Banjir Di Melaka Surut Sepenuhnya

MELAKA – Banjir di Kampung Bukit Berlian, Klebang surut sepenuhnya dan pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Rambai dijangka ditutup petang ini.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka, Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata sehingga 12.30 tengah hari tadi, 46 mangsa banjir daripada lima keluarga masih ditempatkan di pusat tersebut dan mereka akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah situasi dipastikan selamat.

“Keadaan cuaca nampaknya baik dan air banjir telah surut, namun kita masih mengambil langkah berjaga-jaga dan memantau keadaan semasa,” katanya menerusi kenyataan..

Beliau yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka berkata banjir dipercayai akibat hujan sederhana lebat pada 11 pagi semalam. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.